KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Fauziah Ahmad Daud mendedikasikan Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang diterima pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di sini, malam tadi, kepada ibunya, seniwati Allahyarham
Baca juga: Berita popular hari ini
Saadiah
Fauziah, 64, atau mesra disapa Ogy berkata, ibu bapanya, Allahyarham Datin Saadiah dan Allahyarham Datuk Ahmad Daud menjadi insan paling besar pengaruhnya dalam membentuk perjalanan seni beliau sehingga berada pada tahap sekarang.
Fauziah yang menerima wang tunai RM10,000 dan trofi menyifatkan pengiktirafan berkenaan cukup bermakna kerana diterima selepas lebih lima dekad mengabdikan diri dalam industri seni tanah air.
“Emak, Fauziah dapat ini kerana emak. Tanpa doa restu dan didikan mereka berdua, saya tidak akan berada di sini.
“Lebih lima dekad saya berada sebagai seorang kembara dalam seni ini tanpa sekelumit minat pun. Saya pernah bertanya pada diri sendiri, kenapa saya? Jawapan yang saya dapat adalah ini rahsia Tuhan.
“Tuhan sudah menggerakkan mata arwah mak saya untuk melihat bakat yang ada dalam diri saya, sedangkan saya sendiri buta,” katanya.
Tambah Fauziah, ibunya turut memainkan peranan besar dalam membentuk perjalanan seninya apabila sentiasa mendorong beliau menimba ilmu daripada guru-guru hebat.
Justeru, Fauziah menyifatkan trofi diterima bukan miliknya seorang, sebaliknya turut mewakili penghargaan kepada semua pihak yang pernah menyumbang kepada perjalanan kerjayanya.
“Trofi ini bukan milik saya sahaja tetapi juga kepada semua guru, penerbit, penulis, pengarah, kru di belakang tabir dan orang yang selalu memberikan saya teh ais sebelum melangkah masuk ke set.
“Tidak dilupakan rakan seperjuangan seperti Datuk Fauziah Nawi, Seniman Sabri Yunus serta semua pelakon yang sudi berkongsi nafas dan kolam rasa bersama saya di set mahupun di pentas,” katanya.
Fauziah turut menitipkan pesanan kepada generasi pelapis agar tidak terlalu mengejar populariti kerana kegemilangan dalam dunia hiburan hanya bersifat sementara.
Sebaliknya, beliau menegaskan kejujuran dalam berkarya dan disiplin adalah elemen penting yang memastikan sumbangan seseorang anak seni terus dikenang.
“Gemilang populariti itu hanya sementara. Rupa dan wajah kita akan dimamah usia. Tetapi dengan kejujuran jiwa dan disiplin, nama anda akan terus hidup selamanya.
“Nyalakan terus obor seni anda untuk generasi akan datang dengan kejujuran kerana seni tidak pernah berdusta,” katanya.
Fauziah turut menzahirkan penghargaan kepada adik-beradik, anaknya, Nur Aminah Aishah, seluruh keluarga serta peminat yang tidak putus-putus menitipkan doa buat dirinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd