LATEST

Seorang wanita hilang selepas dihanyutkan arus deras kepala air

Seorang wanita hilang selepas dihanyutkan arus deras kepala air

IPOH: Seorang wanita dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika kejadian kepala air di kawasan air terjun di Puncak Jelapang, Meru Raya di sini hari ini.

Wanita berusia 21 tahun yang dikenali sebagai P. Shena itu merupakan antara empat individu, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang mandi-manda di kawasan berkenaan

Baca juga: Indonesia gagalkan cubaan seludup 25.8kg emas ke Malaysia

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 5.14 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Ketua operasi memaklumkan seorang wanita berusia 22 tahun yang berada di seberang sungai berjaya diselamatkan anggota bomba manakala seorang lelaki berusia 22 tahun yang dilaporkan dihanyutkan arus deras berjaya menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, seorang lagi wanita masih belum ditemukan selepas dihanyutkan arus deras,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu kepada usaha mengesan mangsa wanita yang hilang itu.

Katanya, keadaan arus sungai yang masih deras menjadi antara cabaran kepada pasukan penyelamat sepanjang operasi dijalankan.

“Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai. Operasi SAR itu melibatkan sembilan anggota bomba dari BBP Meru Raya,” katanya. – utusan

The post Seorang wanita hilang selepas dihanyutkan arus deras kepala air appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news