am@hmetro.com.my
Baca juga: Pearly-Thinaah mara final, peluang lunas dendam
Kuala Selangor: “Abang salam mak dua kali sebelum pergi ke tempat kerja pagi semalam. Dia seakan terlupa hingga cakap ‘aku dah salam ke belum?
“Saya tak sedap hati sebab macam pelik tetapi tak nak fikir apa apa ketika itu. Tak sangka dia pergi buat selama-lamanya,” kata Muhamad Idham Amirudin, 26.
Muhamad Idham adalah adik kepada Muhammad Ashraf, 30, yang maut dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Masjid Pekan Sungai Buloh, Jeram, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, Muhammad Ashraf yang menunggang Yamaha NMAX meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang baru 11 hari bekerja dalam bidang penyelenggaraan penyaman udara di Puchong, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Tok Empat Majid, Kampung Bukit Belimbing di sini.
Anak ketujuh dari 10 beradik itu berkata, ketika kejadian, ibunya dihubungi tunang Allahyarham yang memaklumkan kemalangan itu.
“Mak segera kejutkan saya dan adik. Pada masa sama ayah pula sedang menunaikan solat Subuh di masjid.
“Apabila saya jumpa ayah yang kebetulan sudah habis solat kami terus ke lokasi kejadian. Sebaik tiba (di lokasi kejadian) abang sudah bertutup.
“Ayah hanya mampu terdiam dan cuba menenangkan mak yang seakan tidak percaya dengan kemalangan itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Muhamad Idham berkata, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang rajin, tegas dan suka membantu orang.
“Pagi semalam saya tengok abang. Abang kata nak pinjam kereta saya dan dia minta saya bawa motornya. Selain itu, kami juga sempat berkomunikasi di sebelah petang dan malam.
“Abang sudah bertunang awal bulan ini. Sejak itu dia sering melakukan pelbagai kerja termasuk menyelenggara penyaman udara dan penyambungan elektrikal,” katanya.
Muhamad Idham berkata, walaupun masih terkejut dengan kemalangan itu dia sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT, dan memaklumkan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Belimbing selepas solat Asar tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, polis setakat ini masih belum mengenal pasti kenderaan yang dipercayai melanggar motosikal mangsa.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka berhubung insiden itu supaya tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Norzalikha Ghazali di talian 017-8790677,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd