Kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu disifatkan hanya menambah beban kepada parti-parti dalam kerajaan.
Pemimpin DAP sepatutnya lebih peka
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan, pemimpin DAP itu sepatutnya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat setempat dan tidak menjadikan setiap perkara sebagai bahan politik sehingga mencetuskan polemik.
Baca juga: Kenyataan Poay Tiong wajar disiasat di bawah peruntukan 3R – Shahidan Kassim
Menurutnya, kritikan terhadap dasar kerajaan sememangnya dibenarkan, namun ia perlu dibuat dengan memahami latar belakang serta keadaan masyarakat yang terlibat.
“Masalah sebahagian daripada mereka ialah tidak sensitif dan semua perkara mahu dipolitikkan.
“Bukan bermaksud apabila Pas mempunyai mandat di Terengganu, kita tidak boleh mengkritik dasar mereka. Dasar itu boleh dikritik, tetapi kenalah faham latar belakang dan keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Belajar di Pejabat Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas di sini pada Sabtu.
Sukarkan parti-parti dalam kerajaan bina kepercayaan
Mengulas lanjut, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata, kenyataan sedemikian boleh menyukarkan usaha parti-parti dalam kerajaan untuk membina kepercayaan serta meningkatkan keyakinan rakyat.
Walau bagaimanapun, beliau menghargai tindakan Poay Tiong yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi berkenaan.
Katanya, permohonan maaf itu diterima baik, namun kesan daripada kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat sudah pun berlaku.
“Kita harap ini jadi satu lagi pengajaran kepada beliau.
“Ini bukan kritikan yang datang daripada orang luar, tetapi daripada parti sendiri, beberapa pemimpin DAP turut menyatakan kekesalan terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Poay Tiong menerima kritikan selepas mempertikaikan arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Beliau kemudian tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui terdapat kelemahan dalam cara beliau menyampaikan pandangan sehingga menimbulkan salah faham serta menyinggung perasaan masyarakat, khususnya umat Islam.