am@hmetro.com.my
Baca juga: Tiang tumbang dirempuh kereta hempap rumah, pemilik syukur tak kena bilik tidur
Shah Alam: Lonjakan jumlah pesakit sehingga 25 peratus daripada purata kehadiran harian di Zon Kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) Hospital Ampang menyebabkan kesesakan serta tempoh menunggu yang lama untuk kemasukan ke wad.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan, peningkatan jumlah pesakit yang tinggi sejak kebelakangan ini turut menjejaskan kelancaran proses kemasukan pesakit ke wad hospital berkenaan.
Jelasnya, pihak pengurusan Hospital Ampang sudah mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi menangani kesesakan susulan lonjakan jumlah pesakit berkenaan.
“JKT Hospital Ampang menerima lonjakan jumlah pesakit yang tinggi di Zon Kuning dalam tempoh kebelakangan ini dengan peningkatan pesakit sehingga 25 peratus daripada purata kehadiran harian.
“Keadaan ini menyebabkan kesesakan di JKT Hospital Ampang dan menjejaskan tempoh kemasukan pesakit ke wad,” menurut JKNS dalam kenyataan.
JKNS berkata, antara langkah penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk memperkukuh proses aliran kemasukan dan discaj pesakit bagi memastikan pengurusan pesakit lebih lancar.
“Selain itu, penggunaan ruang menunggu discaj (discharge lounge) dipertingkatkan supaya lebih cekap, selain memastikan pengurusan sumber manusia dilaksanakan secara efektif.
“JKNS menghargai maklum balas masyarakat dan terus komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang optimum tanpa kompromi terhadap keselamatan dan pengurusan rawatan pesakit,” menurut jabatan itu lagi.
Media sebelum ini melaporkan, kesesakan di Jabatan Kecemasan (Zon Kuning) Hospital Ampang menyebabkan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan katil di wad.
Keadaan itu dikongsi seorang individu menerusi Threads, @ayien78, yang mendakwa hampir setiap ruang di zon berkenaan dipenuhi katil dan katil mudah alih, bagi menempatkan pesakit.
Dia mendakwa, bapanya sudah tiga hari menunggu untuk dimasukkan ke wad, namun masih belum mendapat tempat kerana kesesakan di dalam wad.
Katanya, keadaan itu bukan saja mengakibatkan pesakit warga emas terpaksa menunggu lama tetapi membebankan petugas kesihatan yang perlu mengendalikan jumlah pesakit yang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd