am@hmetro.com.my
Baca juga: ‘Hati-hati beri pandangan, jangan sampai sentuh sensitiviti agama’ – Mat Sabu
Kuala Lumpur: Polis sudah membuka kertas siasatan susulan dakwaan pelakon wanita, Puteri Balqis menjadi mangsa gangguan seksual pelakon lelaki ketika sesi penggambaran sebuah drama.
Ia susulan pelakon itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Khamis lalu.
Menurut sumber, difahamkan kejadian itu berlaku sekitar Ogos lalu selepas dia menerima tawaran berlakon drama terbabit bersama pelakon lelaki itu.
“Kejadian itu dikatakan berlaku ketika sesi penggambaran itu menyebabkan Puteri Balqis dikatakan tidak selesa dan terganggu emosi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan menerima laporan itu dan kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pelakon lelaki terbabit yang terpalit dengan dakwaan salah laku di set penggambaran, Zarif Ghazzi, 22, turut membuat laporan polis dengan disusuli tindakan undang-undang.
Menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG), pengurus Zarif dikenali Faiz Aizat memaklumkan pihak pengurusan memandang serius isu terbabit dan dakwaan yang diperkatakan terhadap artis di bawah kendaliannya.
Menurutnya, pelakon drama Dua Nyawa berkenaan menafikan sebarang salah laku di set penggambaran seperti didakwa kerana sentiasa mengamalkan sikap profesionalisme.
“Untuk makluman, Zarif Ghazzi dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau yang mungkin ditafsirkan sebagai merujuk kepada dirinya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk innuendo,” katanya.
Nama Zarif terkait dengan dakwaan pelakon, Puteri Balqis Azizi, 19, yang meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel ketika melakonkan babak bersama.
Puteri Balqis atau Aqish kemudian mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadapnya.
Tidak hanya itu, Puteri Balqis juga mengakui dia kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.
Bagaimanapun, Puteri Balqis muncul membuat permohonan maaf secara terbuka atas kelantangannya bersuara menggunakan kata-kata kesat dalam beberapa hantaran media sosial, baru-baru ini yang mendapat kritikan warga maya.
© New Straits Times Press (M) Bhd