sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Selaras segera pendirian politik BN antara negeri, Pusat – Ahmad Maslan
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) terpaksa mengenakan hukuman yang agak berat berbanding ketetapan sebelum ini kepada Imigresen FC II (IFC II) yang membuat keputusan untuk menarik diri daripada Liga A1 Semi-Pro 2026/27.
Pasukan terbabit yang sah menarik diri secara rasmi menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 18 November 2026 dikenakan hukuman penggantungan daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran AFL selama dua musim iaitu pada pada musim 2026/27 dan musim 2027/28.
Malah, mereka turut didenda sebanyak RM50,000 sekali gus menyaksikan hanya 13 pasukan akan meneruskan saingan merebut kejuaraan liga yang bakal berakhir Mei tahun hadapan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan tindakan itu diambil sebagai satu mesej peringatan kepada semua pasukan sedia ada serta yang bakal bertanding di Liga A1 musim akan datang supaya lebih bersedia dan bertanggungjawab dalam mematuhi sepenuhnya peraturan pertandingan demi menjaga integriti liga.
“Kita tidak mahu perkara yang sama lagi berlaku di masa akan datang dan mencemarkan reputasi Liga A1 yang kini mendapat perhatian sebilangan besar peminat bolasepak tanah air”, kata Yusoff.
Terdahulu, AFL dalam satu kenyataan mengesahkan penarikan diri IFC II daripada kancah semi profesional itu selepas mengharungi lapan perlawanan musim ini.
AFL menjelaskan, beberapa siri perbincangan sudah pun dijalankan dalam usaha untuk menangani isu ini namun pihak pengurusan kelab telah nekad dengan keputusan mereka.
“AFL menerima dan menghormati keputusan terbabit dengan berat hati dan susulan penarikan diri IFC II, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi IFC II.
“Perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2026/27 akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada termasuk pembatalan semua perlawanan yang sudah dijadualkan membabitkan IFC II,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd