LATEST

Anak Orang Asli impi sarung jersi kebangsaan

Anak Orang Asli impi sarung jersi kebangsaan

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Bermula dengan mengenali sepak takraw ketika di Tingkatan Satu, remaja berketurunan Semai dan Temiar, Zihnizen a/l Riminin, 16, kini memasang impian untuk melangkah lebih jauh dalam sukan itu hingga ke peringkat kebangsaan.

Baca juga: ‘Saya gunakan kaki palsu, jadi tidak boleh berjalan laju atau berlari’

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Selangor itu berkata, minatnya terhadap sepak takraw mula berkembang selepas mendapat bimbingan seorang jurulatih yang melatihnya dari peringkat asas.

Menurutnya, dia menjalani latihan di Batu 12, Gombak, lokasi yang turut menjadi tempat tinggalnya, selain menyertai Kelab Sepak Takraw Naga Rimba (KSTNR) di Wangsa Maju, Setapak, Kuala Lumpur.

Katanya, usaha dan kesungguhannya membuahkan hasil apabila dia terpilih mewakili sekolah dan negeri dalam sukan berkenaan.

Lebih membanggakan, Zihnizen turut menjadi sebahagian daripada pasukan sepak takraw bawah 18 tahun Selangor yang muncul juara berpasukan serta juara antara regu pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Anak daripada lima beradik itu berkata, sokongan ibu bapanya menjadi antara pembakar semangat untuk terus aktif dalam sukan berkenaan.

“Kalau boleh, saya mahu pergi lebih jauh dan mendapat peluang mewakili negara pada masa depan.

“Saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi dan membuktikan bahawa pemain daripada latar belakang masyarakat Orang Asli juga mampu bersaing dalam sukan ini,” katanya.

Seorang lagi peserta dalam kalangan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Temuan yang menyertai Liga Takraw Nasional Mekdi (LTNM) Zon Timur, Yunus Ungau, 15, dari Sepang, Selangor berkata, dia juga menyimpan impian untuk melangkah lebih jauh dengan mengimpikan untuk menyarung jersi kebangsaan suatu hari nanti.

Penglibatannya dalam sepak takraw bukan sekadar mengejar kejayaan sukan, malah menjadi peluang untuk membuktikan bahawa masyarakat Orang Asli juga mampu mencipta kecemerlangan dalam bidang berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news