LATEST

Kemelut Negeri Sembilan perlu diselesaikan tanpa campur tangan pihak luar

Kemelut Negeri Sembilan perlu diselesaikan tanpa campur tangan pihak luar

KUALA LUMPUR: Kemelut politik di Negeri Sembilan perlu diselesaikan di peringkat negeri tanpa campur tangan pihak luar. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani berkata, beliau yakin pihak Istana Negeri Sembilan mempunyai perancangan tersendiri bagi mencari penyelesaian terbaik. 

Baca juga: ‘Rakyat mahu penyelesaian masalah harian, bukan sekadar janji politik’

Katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses penyelesaian kemelut politik di Negeri Sembilan tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya rasa ini sudah sampai ke peringkat istana. Saya fikir elok saya tidak perlu komen.

“Saya percaya pihak istana Negeri Sembilan akan menyusun strateginya. Jadi, kita tidak boleh campur kerana itu hak mutlak yang perlu dikendalikan di peringkat Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sumbangan Ceria ke Sekolah TNB bersama masyarakat di Anjung Perpaduan, Kampung Padang, di sini hari ini.

Johari berkata, beliau tidak mahu mengambil pendekatan yang boleh menambahkan ketegangan, sebaliknya mahu memberi ruang kepada proses berkenaan berjalan.

“Jadi, perkara ini kita tengok perlahan-lahan. Saya fikir lebih baik kita berdiam diri supaya masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

Semalam media melaporkan, Datuk Ismail Lasim kekal sebagai Menteri Besar se­perti mana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas beliau menghadap baginda di Istana Hinggap.

Dalam sesi menghadap tersebut, beliau juga melafazkan taat setia dan akujanji mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah selain berikrar untuk mempertahankan kedaulatan baginda.

Ismail juga menyatakan akan menghalang sebarang usaha sama ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jabatan kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan baginda.

Serentak itu juga, beliau memberitahu, Proklamasi Menurunkan Takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 19 April lalu sebagai tidak sah dan tidak akan diwartakan.-UTUSAN

The post Kemelut Negeri Sembilan perlu diselesaikan tanpa campur tangan pihak luar appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news