JOHOR BAHRU – Konvensyen Amanah Nasional perlu menjadi platform untuk menyatakan pendirian tegas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Barisan Nasional (BN) dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan.Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, sudah tiba masanya kedudukan UMNO-BN dalam kerajaan dinilai semula susulan tindakan pemimpinnya yang didakwa sering menyerang rakan gabungan sendiri.Menurutnya, BN perlu memahami bahawa keputusan untuk berada dalam kerajaan turut membawa tanggungjawab terhadap pentadbiran dan setiap keputusan yang dibuat bersama.”Kalau ada perbezaan, bincang. Kalau ditegur, jawab. Kalau setiap perbezaan mahu dijadikan peluang untuk memperlekeh rakan sendiri, silakan berpolitik begitu di luar kerajaan.”Rakyat mahu kerajaan yang boleh bekerja. Setiap kali UMNO-BN memanjangkan pertikaian dengan rakan sendiri, kerajaan terpaksa menghabiskan masa menangani pertikaian itu,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, masa sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya dihabiskan bagi menangani perselisihan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.Sehubungan itu, Fadhli berpandangan Amanah perlu tampil sebagai kuasa ketiga yang berani mengambil pendirian sendiri, selain bertanggungjawab menyuarakan perkara yang boleh menjejaskan kepimpinan Perdana Menteri.Katanya, kedudukan BN dalam kerajaan ketika ini perlu diputuskan oleh Anwar.”Saya mahu Konvensyen Amanah Nasional hari ini menyatakan pendirian ini secara terbuka. Amanah mesti mendesak Perdana Menteri supaya mengeluarkan BN daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022 apabila tiada gabungan parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar kemudian bekerjasama dengan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.Bagaimanapun, hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan berdepan ketegangan susulan perbezaan pandangan berhubung hala tuju pentadbiran dan kritikan pemimpin UMNO terhadap kerajaan.Sebelum ini, beberapa pemimpin Amanah turut menyuarakan pandangan supaya BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan, termasuk Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang mencabar UMNO-BN supaya membuat keputusan berhubung kedudukan mereka dalam kerajaan.Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu juga dilaporkan mengusulkan supaya BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan tanpa menunggu PRU16.
Konvensyen Amanah perlu desak Anwar keluarkan BN – Fadhli Umar
Malay News | https://www.malay.news/konvensyen-amanah-perlu-desak-anwar-keluarkan-bn-fadhli-umar/