zanariah_mutalib@bh.com.my
Baca juga: Tuanku Muhriz mahu integriti, tadbir urus baik jadi teras pentadbiran UKM
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan Malaysia menghentikan serta-merta semua penghantaran pulang pemohon suaka dan pelarian ke Myanmar hingga keselamatan serta hak mereka dapat dijamin.
Suruhanjaya itu juga mahu kerajaan memastikan Myanmar menunjukkan komitmen dalam melaksanakan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November lalu dengan pelaksanaan yang dapat dibuktikan dan disahkan.
Ia merujuk kepada keputusan ICJ bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Rohingya di utara Negeri Rakhine dan mengarahkan negara itu menyediakan remedi kepada mangsa.
Ia juga termasuk membenarkan dan memudahkan kepulangan masyarakat Rohingya yang kehilangan tempat tinggal ke tempat kediaman mereka secara selamat, sukarela dan bermaruah; penyatuan semula keluarga; pemulihan harta benda yang hilang atau rosak; bantuan untuk mengesan individu yang hilang serta mendapatkan semula jasad mereka yang terbunuh; pemulihan bagi mereka yang cedera dan perlindungan daripada diskriminasi serta penganiayaan.
Mahkamah turut memutuskan Myanmar perlu membayar pampasan kepada masyarakat Rohingya bagi kerugian yang tidak dapat dipulihkan melalui langkah berkenaan.
“Perintah ini menjelaskan sebarang kepulangan mestilah dilaksanakan secara selamat, sukarela dan bermaruah serta disokong perlindungan serta remedi yang berkesan.
“Proses penghantaran pulang tidak boleh dianggap selamat atau mampan selagi individu masih berisiko menghadapi penganiayaan atau diskriminasi atau sekiranya perlindungan dan remedi yang sewajarnya tidak tersedia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan, seramai 12,176 warga Myanmar dilaporkan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu merangkumi warga Myanmar yang kewarganegaraannya disahkan oleh negara asal dan bukan merujuk secara khusus kepada etnik Rohingya.
Selain menggantung semua penghantaran pulang, termasuk kepulangan yang dilaksanakan di bawah tekanan atau tanpa persetujuan bebas, SUHAKAM juga menggesa kerajaan memastikan tiada pemohon suaka atau pelarian dihantar pulang tanpa penilaian risiko secara individu terhadap ancaman yang bakal dihadapi, dengan memberikan perhatian khusus kepada risiko penganiayaan, kemudaratan serius, pemisahan keluarga dan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Pada masa sama, memudahkan pelaksanaan prosedur perlindungan sementara dengan membenarkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) membantu menjalankan penilaian risiko secara individu dan menyediakan perlindungan kepada pelarian serta pemohon suaka.
“Selain itu, memastikan kerangka suaka negara di bawah program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) berteraskan hak asasi manusia, telus dan inklusif serta menjamin peralihan yang lancar kepada sistem suaka yang diterajui kerajaan bagi melindungi pelarian dan pemohon suaka.
“Kerangka ini juga perlu menyediakan ruang kepada SUHAKAM untuk memainkan peranan aktif sebagai penasihat dan badan pemantau dalam mempromosi, memantau serta memastikan pematuhan terhadap piawaian hak asasi manusia sepanjang proses perancangan, pelaksanaan dan pengoperasian kerangka berkenaan,” katanya.
SUHAKAM juga meminta kerajaan menangani ucapan kebencian dan hasutan terhadap masyarakat Rohingya dan pemohon suaka serta pelarian lain dengan memperkukuh kesedaran awam mengenai perlindungan pelarian, menangani maklumat palsu dan naratif yang merendahkan martabat manusia serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap ancaman dan hasutan kepada keganasan.
“Komunikasi awam perlu menggalakkan penghormatan terhadap maruah manusia dan keharmonian sosial, selain memperjelas bahawa individu yang mencari perlindungan tidak seharusnya menjadi sasaran atau dipersalahkan secara kolektif.
“Kerajaan juga perlu menyiasat dakwaan yang mempunyai asas berhubung tindakan vigilante (mengambil alih peranan pihak berkuasa), ugutan, pemerasan atau sebarang bentuk eksploitasi terhadap masyarakat Rohingya demi keuntungan kewangan,” katanya.
SUHAKAM turut menggesa kerajaan menggubal undang-undang domestik khusus bagi menguatkuasakan peruntukan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid (Konvensyen Genosid) yang disertai Malaysia pada 1994.
“Kerajaan perlu menangani jurang perundangan yang berlarutan sekian lama ini dengan memperkenalkan kerangka perundangan yang diperlukan bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah konvensyen berkenaan dan memperkukuh perlindungan domestik daripada jenayah genosid,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd