Bangi: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu integriti, ketelusan dan akauntabiliti menjadi amalan dalam setiap aspek pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi itu terus diperkukuh.
Baca juga: Nafuzi tangisi peledak tumpul
Baginda yang juga Canselor UKM bertitah integriti bukan sekadar prinsip yang dilaungkan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam pengurusan kewangan, pentadbiran dan setiap keputusan universiti supaya kecemerlangan yang dicapai dapat diteruskan.
“Ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang perlu berjalan seiring dengan kecekapan. Dengan amalan inilah, kepercayaan masyarakat terhadap UKM dapat diperkukuh,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UKM ke-54 di sini hari ini.
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz turut berangkat ke majlis itu.
Yang turut hadir ialah Pro-Canselor UKM Tan Sri Datuk Rafiah Salim dan Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh.
Tuanku Muhriz bertitah susulan kemelut pada tahun lepas dan sebelumnya, lembaga pengarah universiti serta pengurusan UKM telah mengambil langkah pembaharuan bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan mutu pentadbiran universiti.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penubuhan Jawatankuasa Ad Hoc Tadbir Urus (AHGC) dan pelantikan perunding bebas bagi menjalankan penilaian menyeluruh terhadap amalan tadbir urus universiti.
“Penilaian telah dijalankan selama 32 minggu merangkumi tadbir urus Kumpulan UKM, kewangan dan perolehan. Inisiatif ini mencerminkan kesediaan UKM untuk menerima penilaian secara objektif serta melaksanakan pembaharuan.
“Sesungguhnya, kekuatan tadbir urus bukan sahaja bergantung pada struktur dan prosedur, tetapi juga pada nilai yang dihayati setiap warga UKM.
“Seperti dalam laporan yang dibentangkan kepada beta, piawaian tadbir urus hanya akan kekal apabila ia difahami, diamalkan dan ditegakkan oleh mereka yang memimpin, mengurus dan berkhidmat kepada universiti,” titah baginda.
Sehubungan dengan itu, Tuanku Muhriz mahu budaya kerja universiti berteraskan amanah, integriti, profesionalisme, adab dan akauntabiliti selain memastikan pembangunan bakat serta kepimpinan dilaksanakan berdasarkan merit dan kompetensi.
Baginda turut menzahirkan harapan agar pembangunan Kod Tatakelakuan UKM dan panduan The UKM Way dapat memperkukuh penghayatan nilai berkenaan dalam kalangan warga universiti.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif UKM menubuhkan Kursi Diraja Tuanku Muhriz dalam Bidang Integriti dan Tadbir Urus Baik serta Pusat Tadbir Urus dan Amalan Peraturan Baik.
Selain itu, baginda menzahirkan rasa sukacita kerana dapat meraikan lebih 14,000 graduan yang menerima ijazah pada konvokesyen kali ini.
Tuanku Muhriz juga menzahirkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan sukan negara.
Sementara itu, sembilan tokoh akademik UKM menerima gelaran Profesor Emeritus sebagai penghargaan terhadap sumbangan kesarjanaan mereka kepada universiti dan negara manakala dua graduan menerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Tuanku Muhriz mengingatkan graduan bahawa kejayaan memperoleh ijazah bukan penamat perjalanan menuntut ilmu, sebaliknya permulaan pada tanggungjawab lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Beta berharap agar ilmu dan pengalaman di UKM dimanfaatkan untuk menyumbang kepada masyarakat dengan sentiasa memelihara adab, akhlak dan prinsip kebenaran,” titah baginda.
Tuanku Muhriz juga menyeru graduan agar terus meningkatkan kemahiran, memperbaharui pengetahuan serta menjaga nama baik dan mengekalkan hubungan dengan universiti sebagai alumni.
© New Straits Times Press (M) Bhd