LATEST
National

Kes pegawai TUDM disyaki terbabit sindiket edar dadah perlu siasatan menyeluruh, bebas dan telus – Lam Thye

Kes pegawai TUDM disyaki terbabit sindiket edar dadah perlu siasatan menyeluruh, bebas dan telus – Lam Thye

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menjalankan siasatan menyeluruh, bebas dan telus berhubung penahanan lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama enam individu lain yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

Baca juga: Program Temu Anwar perkasa suara generasi muda

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata siasatan perlu mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan, termasuk dalang utama, sumber kewangan serta kemungkinan pembabitan anggota atau individu lain dalam institusi keselamatan negara.

Beliau berkata, rampasan 96.64 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta itu amat membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila wujud dakwaan kemudahan pengangkutan udara tentera dieksploitasi untuk kegiatan penyeludupan dadah.

Katanya, dakwaan pembabitan anggota yang diamanahkan menjaga keselamatan negara serta kemungkinan penyalahgunaan kemudahan ketenteraan bagi tujuan jenayah menimbulkan persoalan serius berkaitan integriti, disiplin dan akauntabiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tiada sesiapa harus dilindungi kerana pangkat, kedudukan atau hubungan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pertahanan dan ATM menjalankan kajian semula menyeluruh terhadap prosedur keselamatan di semua kemudahan ketenteraan, khususnya membabitkan pemeriksaan kargo, kawalan akses, penyeliaan dan pemantauan.

Lam Thye berkata, semua langkah perlindungan perlu diperkukuh segera bagi mengelakkan kemudahan ketenteraan disalahgunakan untuk kegiatan jenayah pada masa hadapan.

Beliau turut menggesa penilaian segera terhadap aspek integriti dan akauntabiliti dalam ATM, termasuk memperketat pemantauan dalaman, melaksanakan pemeriksaan berkala serta menyediakan perlindungan berkesan kepada pemberi maklumat.

Katanya, program integriti dan pencegahan dadah yang lebih mantap juga perlu dilaksanakan bagi memperkukuh disiplin dalam institusi keselamatan negara.

Selain itu, beliau menegaskan kerajaan perlu mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap pengedaran dadah dan rasuah dalam semua agensi keselamatan, dengan tindakan undang-undang tegas dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Dalam pada itu, Lee berkata, insiden berkenaan tidak seharusnya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ATM yang majoriti anggotanya berkhidmat dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan pengorbanan demi negara.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan segelintir individu tidak boleh dibiarkan mencemarkan reputasi dan kredibiliti keseluruhan institusi berkenaan.

Beliau berkata, ATM diamanahkan untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, justeru sebarang penyalahgunaan amanah itu bagi kepentingan jenayah adalah perkara serius yang tidak boleh dikompromi.

Katanya, kerajaan perlu menjadikan insiden berkenaan sebagai pengajaran penting untuk memperkukuh integriti, disiplin dan akauntabiliti dalam seluruh institusi keselamatan negara.

“Keselamatan negara tidak boleh dikompromi dan kepercayaan rakyat tidak boleh dikhianati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news