LATEST

Melonjak kepada RM436.61 bilion

Melonjak kepada RM436.61 bilion

kartika@mediaprima.com.my

Baca juga: FFM35 jadi bukti kebangkitan sinema Malaysia

Kuala Lumpur: Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 58 peratus kepada RM436.61 bilion pada Oktober 2026, sekali gus melepasi paras RM400 bilion buat pertama kali dalam sejarah negara.

Pencapaian itu didorong peningkatan kukuh eksport dan import dengan kedua-duanya mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, eksport meningkat 61.1 peratus kepada RM239.20 bilion, manakala import berkembang 54.4 peratus kepada RM197.41 bilion berbanding bulan sama tahun lalu.

Prestasi eksport itu turut mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak April 2021, selain melepasi paras RM200 bilion untuk dua bulan berturut-turut.

Peningkatan berkenaan membolehkan Malaysia merekodkan lebihan dagangan RM41.80 bilion pada Oktober, lebihan bagi bulan ke-78 berturut-turut sejak Mei 2020.

MITI berkata, pertumbuhan eksport negara disokong prestasi kukuh merentas sektor ekonomi utama, khususnya barangan perkilangan dan hasil galian.

“Barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama apabila eksportnya meningkat 87.2 peratus kepada RM125.59 bilion, merangkumi 52.5 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

“Pertumbuhan itu disokong permintaan global berterusan terhadap semikonduktor serta penerimagunaan teknologi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI),” kata MITI.

Eksport keluaran petroleum turut meningkat 92.9 peratus kepada RM16.92 bilion, manakala jentera, kelengkapan dan peralatan berkembang 45.9 peratus kepada RM9.68 bilion.

Sementara itu, eksport hasil galian meningkat 37 peratus kepada RM11.63 bilion, disokong peningkatan eksport gas asli cecair (LNG), susulan kenaikan harga dan kuantiti eksport.

Dari segi pasaran, eksport ke Taiwan mencatatkan peningkatan paling ketara apabila melonjak 292.6 peratus kepada RM31.84 bilion, sekali gus menjadikan negara itu rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada Oktober, mengatasi Amerika Syarikat (AS).

Eksport ke AS pula meningkat 107.8 peratus kepada RM38.29 bilion, manakala eksport ke ASEAN berkembang 53.9 peratus kepada RM65.54 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 33.2 peratus kepada RM3.348 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Eksport berkembang 37.1 peratus kepada RM1.811 trilion, mengatasi pertumbuhan import sebanyak 28.8 peratus kepada RM1.536 trilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan RM274.81 bilion.

MITI berkata, prestasi perdagangan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini turut mengatasi keseluruhan pencapaian tahun 2025 bagi setiap petunjuk utama perdagangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news