LATEST

Malaysia perlu desak negara ketiga terima lebih ramai pelarian

Malaysia perlu desak negara ketiga terima lebih ramai pelarian

SHAH ALAM – Malaysia perlu meningkatkan tekanan diplomatik terhadap negara-negara penerima pelarian bagi mempercepatkan proses penempatan semula lebih 225,000 pelarian yang berada di negara ini.Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan beberapa negara Eropah perlu memainkan peranan lebih besar dengan meningkatkan jumlah pengambilan pelarian setiap tahun.”Malaysia tidak sepatutnya terus menanggung beban ini secara bersendirian kerana isu pelarian merupakan tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa.”Jika kadar penempatan semula hanya 2,000 orang setahun, sudah tentu tempoh yang diperlukan terlalu panjang dan tidak munasabah untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Malaysia dianggarkan memerlukan lebih satu abad untuk menyelesaikan isu penempatan semula pelarian sekiranya kadar penghantaran ke negara ketiga kekal seperti sekarang.Menurutnya, hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga antara Januari hingga Jun 2026, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).Mengulas lanjut, Hussain Yusri berkata, Malaysia perlu menggunakan platform ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan komitmen antarabangsa yang lebih jelas dalam menangani isu pelarian.Beliau berkata, negara anggota perlu digalakkan berkongsi tanggungjawab melalui bantuan kewangan, sokongan kemanusiaan dan penyediaan lebih banyak peluang penempatan semula ke negara ketiga.”Kerajaan juga perlu mempunyai pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang jelas termasuk menetapkan sasaran tahunan penempatan semula melalui rundingan dengan negara penerima.”Sebagai contoh sekiranya jumlah penempatan semula dapat ditingkatkan kepada 10,000 atau 20,000 orang setahun, tempoh menunggu boleh dikurangkan dengan ketara berbanding kadar semasa,” ujarnya.Bagaimanapun beliau menegaskan, sasaran itu memerlukan persetujuan dan komitmen sebenar daripada negara ketiga, bukannya bergantung kepada usaha Malaysia semata-mata.Tambahnya, UNHCR juga perlu mempercepatkan proses penilaian, dokumentasi dan penempatan semula pelarian kerana kelewatan berpanjangan memberi tekanan kepada kemudahan kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan serta pengurusan keselamatan negara.”Kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan UNHCR perlu diperkukuh supaya proses penempatan semula dapat dilaksana dengan lebih teratur dan berkesan.”Penempatan semula ke negara ketiga bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Usaha menangani punca kemasukan pelarian dan mewujudkan keadaan selamat untuk mereka pulang secara sukarela juga perlu diberikan perhatian,” jelasnya.

Latest news