HANOI: Parlimen Vietnam pada Jumaat meluluskan undian untuk memansuhkan hukuman mati bagi enam kesalahan termasuk pengedaran dadah secara haram dan merogol individu di bawah usia 16 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Undang-undang yang dipinda itu akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2027.
Baca juga: 24 ADUN BN, PN Negeri Sembilan capai kata sepakat, patuh arahan, ketetapan parti
Enam kesalahan yang tidak lagi dikenakan hukuman mati ialah rusuhan, pengedaran bahan narkotik secara haram, merogol individu di bawah usia 16 tahun, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan keganasan yang bertujuan menentang pentadbiran rakyat.
Perubahan itu menjadikan hanya empat kesalahan yang masih boleh dikenakan hukuman mati, iaitu pengkhianatan terhadap negara, pembunuhan, keganasan dan pengeluaran bahan narkotik secara haram.
Keputusan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah dan rogol kanak-kanak mencetuskan perdebatan sepanjang proses penggubalan undang-undang itu, dengan beberapa anggota Parlimen berhujah bahawa hukuman mati perlu dikekalkan berikutan seriusnya jenayah berkenaan.
Kerajaan berhujah bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan hukuman mati lebih berkesan berbanding hukuman penjara seumur hidup dalam mencegah kegiatan pengedaran dadah.
Sebaliknya, kerajaan berpendapat bahawa siasatan yang lebih mantap, peningkatan kadar pengesanan serta usaha melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah akan menjadi langkah pencegahan yang lebih berkesan.
Di bawah peraturan dipinda itu, hukuman mati yang dijatuhkan bagi keenam-enam kesalahan berkenaan tetapi belum dilaksanakan akan diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup.
Pindaan terbaharu itu menyusuli reformasi pada Julai 2025 yang memansuhkan hukuman mati bagi lapan lagi kesalahan. – BERNAMA-DPA
© New Straits Times Press (M) Bhd