LATEST
National

Kerja kelab malam tanpa pas sah, 3 warga asing didenda RM5,000 hingga RM10,000

Kerja kelab malam tanpa pas sah, 3 warga asing didenda RM5,000 hingga RM10,000

MELAKA: Dua wanita warga Vietnam yang bekerja di kelab malam bersama seorang lelaki Bangladesh didenda RM5,000 hingga RM10,000 selepas mengaku salah atas kesalahan imigresen di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Baca juga: Sepanyol jumpa Perancis, England layan Norway

Tran Thi Diem My dan Huynh Thi Hiep, masing-masing berusia 22 tahun, serta Abdul Jabbar Sorif, 42, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, namun semuanya melunaskan bayaran.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Tran Thi dan Abdul Jabbar masing-masing didapati memasuki Malaysia tanpa apa-apa pas sah dan melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (akta 155) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.

Sementara Huynh Thi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana berada di negara ini melebihi had tempoh.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Trumz Lounge & KTV di Taman Melaka Raya pada 28 September lalu, jam 2.45 pagi.

Mahkamah menetapkan denda RM5,000 masing-masing kepada Tran Thi dan Abdul Jabbar, manakala Huynh Thi didenda RM10,000.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang lelaki, Toh Wei Hao, 38, didenda RM2,000 selepas mengaku salah melanggar syarat lesen dengan menjalankan operasi pusat hiburan berkenaan melebihi waktu ditetapkan pada tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news