sukan@hmetro.com.my
Baca juga: DAP diingatkan jangan bawa politik perkauman ke Terengganu – ADUN Lantikan Terengganu
Kuala Lumpur: Hasrat skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) 2027 tidak kesampaian selepas diikat India 0-0 pada aksi terakhir Kumpulan E pusingan kelayakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Memerlukan kemenangan dengan perbezaan tiga gol untuk mengesahkan slot ke pusingan akhir, anak buah Shukor Adan jelas tidak mempunyai jawapan untuk membolosi gawang India yang mara selaku juara Kumpulan E dengan 10 mata.
Sebagai rekod, skuad remaja negara pernah layak dalam enam edisi Piala Asia B-17 iaitu pada edisi 2004, 2008, 2014, 2016, 2018 dan juga 2023.
Pencapaian terbaik yang berjaya diraih skuad negara pada pentas Piala Asia B-17 adalah pada edisi 2014 di Thailand yang menyaksikan mereka mara sehingga ke suku akhir.
Pada aksi terbabit, percubaan terbaik Malaysia hadir pada minit kelima menerusi gerakan Nur Azam Muslim Nor Hisham yang berjaya melepasi kawalan dua pertahanan India sebelum rembatan leretnya terkena tiang kiri pintu gol India.
Malaysia terus agresif menekan India dan Nur Azam terlepas peluang untuk membuka jaringan apabila tampanannya di hadapan gol selepas menyambut hantaran Muhammad Afiq Syameel Muhamad Fairul pada minit ke-19 gagal menepati sasaran.
Tekanan yang diberikan Malaysia bagaimanapun tidak cukup untuk pemain negara mendapatkan sebarang gol dalam 45 minit permainan memaksa babak pertama berakhir hambar tanpa sebarang jaringan
Satu lagi peluang hadir buat negara sejurus babak kedua bersambung yang bermula daripada sepakan percuma namun percubaan susulan yang dilakukan Muhammad Syaifullah Mahruzi melambung terlalu tinggi.
India yang dilihat lebih banyak menyerap asakan cuba menguji gawang negara menerusi percubaan Hrishikesh Charan Manavathi pada minit ke-57 dan Md Sahir Ali pada minit ke-74 yang diselamatkan penjaga gol negara, Adam Fakhrullah Mohd Fadli.
Perlawanan yang berakhir tanpa jaringan memaksa skuad negara akur menamatkan kempen kelayakan kali ini di tangga ketiga Kumpulan E dengan tujuh mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd