nurul.hidayah@hmetro.com.my
Baca juga: Trio SSMT EC SMURF A buru gelaran kedua
Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang seolah-olah menggambarkan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu bagi memberi laluan untuk solat Jumaat memberi kesan kepada perniagaan komuniti bukan Islam.
Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka berkata, kira-kira 97 peratus rakyat Terengganu beragama Islam dan tempoh penutupan selama dua jam bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat adalah bagi membolehkan pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.
“Solat Jumaat adalah wajib kepada lelaki beragama Islam yang ditunaikan antara 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.
“Tempoh ini tidak lama dan tujuannya untuk beri kebenaran untuk solat Jumaat, bukannya bagi rehat serta tidur,” katanya menerusi hantaran video di media sosialnya, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, polisi dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu hanya tertakluk kepada premis perniagaan orang Islam.
“Premis bukan Islam yang tiada pekerja Islam tidak ada masalah untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh terbabit.
“Sebelum kamu nak bercakap, tolong guna otak dan fahami sensitiviti orang Islam.
“Sebagai Ahli Parlimen, kamu patut tahu kenapa sepanjang tempoh itu premis perniagaan masyarakat Muslim tutup (sementara).
“Jadi kepada rakyat Malaysia, ini adalah perangai sebenar pemimpin DAP.
“Sama-sama kita fikirkan dan zahirkan nanti di atas kertas undi,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman dilaporkan menyelar tindakan Khoo yang mempersoalkan arahan MBKT mewajibkan semua premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam setiap Jumaat.
Bagaimanapun, Khoo menegaskan beliau tidak berniat menyentuh sensitiviti atau memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak berhubung kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd