nurul_husna@mediaprima.com.my
Baca juga: Sepanyol jumpa Perancis, England layan Norway
Kuala Lumpur: Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf berhubung isu arahan penutupan sementara premis perniagaan pada waktu solat Jumaat di Kuala Terengganu.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Adam Adli menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan kenyataan Khoo sambil menasihatkan beliau supaya menghormati kedaulatan undang-undang negeri serta sensitiviti beragama di negara ini.
Katanya, langkah permohonan maaf itu penting demi memelihara prinsip saling menghormati yang menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan pelaksanaan arahan di bawah pentadbiran kerajaan Terengganu itu adalah urusan pentadbiran yang mempunyai asas perundangan sah menerusi enakmen negeri, selaras dengan bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun wujud perbezaan pendapat dalam menafsirkan asas penubuhan sesuatu undang-undang, peraturan itu terhasil daripada prinsip persetujuan majoriti dan mandat rakyat Terengganu kepada badan legislatif serta eksekutif negeri untuk menggubalnya.
”Maka kita wajib hormati mandat terbabit seperti mana kita mahu orang hormati mandat yang diberi kepada kita,” katanya.
Dari sudut agama pula, Adam Adli menjelaskan lelaki Muslim yang wajib menunaikan solat Jumaat dituntut meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya berdasarkan sandaran nas jelas menerusi Surah al-Jumu’ah, ayat 9.
Justeru, beliau menegaskan perkara itu bukan sekadar amalan budaya atau adat semata-mata, sebaliknya tuntutan agama yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan ibadah.
”Dalam masyarakat majoriti Muslim, pelaksanaan dasar yang bertujuan memelihara kewajipan ini juga adalah amalan yang diterima baik dan wajar difahami dalam konteks kehidupan beragama masyarakat setempat.
”Sebarang perbahasan mengenai perbezaan pandangan terhadap sesuatu dasar mestilah berasaskan kefahaman terhadap undang-undang, tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka membangkitkan kebimbangan mengenai arahan penutupan premis antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat.
Beliau mendakwa pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Khoo turut mengaitkan arahan berkenaan dengan pendekatan dasar agama konservatif dalam pentadbiran awam serta kepemimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, turut menyelar tindakan Khoo yang mempersoalkan arahan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd