LATEST
Social Media

Nafi pertikai solat Jumaat! Khoo Poay Tiong bimbang arahan MBKT jejas peniaga bukan Islam

Nafi pertikai solat Jumaat! Khoo Poay Tiong bimbang arahan MBKT jejas peniaga bukan Islam

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tampil memberikan penjelasan susulan kenyataannya berhubung arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu selama dua jam ketika solat Jumaat yang mengundang pelbagai reaksi.

Hormat solat Jumaat dan amalan di Terengganu

Menerusi satu kenyataan di Facebook, beliau menjelaskan bahawa isu yang dibangkitkan bukanlah berkaitan kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat, sebaliknya mempersoalkan pelaksanaan penguatkuasaan yang didakwa melibatkan semua premis perniagaan termasuk milik bukan Islam.

Baca juga: “Tidak sah dan tidak akan diwartakan!” -MB Negeri Sembilan tegas isu proklamasi 19 April

Menurutnya, beliau menghormati amalan solat Jumaat yang sudah lama dilaksanakan di Terengganu dan tidak berniat mempertikaikan sensitiviti agama mana-mana pihak.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya menghormati Solat Jumaat dan amalan di Terengganu yang telah lama diamalkan. Itu bukan isu yang saya bangkitkan.
“Isu yang saya bangkitkan ialah mengenai penguatkuasaan menyeluruh melalui surat rasmi MBKT yang mengarahkan SEMUA premis perniagaan ditutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, termasuk premis bukan Islam, dengan ancaman denda RM2,000, penjara atau pembatalan lesen perniagaan,” ujarnya.

#

Persoal adakah dasar ini sesuai jika diperkenalkan di Melaka

Dalam masa sama, Poay Tiong turut membangkitkan persoalan sama ada pelaksanaan dasar seumpama itu wajar sekiranya diperkenalkan di Melaka yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Persoalan saya mudah: Adakah wajar sekiranya penguatkuasaan sedemikian dilaksanakan di negeri Melaka oleh kerajaan gabungan BN-PN? Jika dilaksanakan, bagaimana pula nasib perniagaan yang dijalankan oleh pelbagai kaum di Melaka?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pandangannya itu bertujuan membangkitkan persoalan mengenai sesuatu dasar dan kesannya terhadap masyarakat, bukannya memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak.

“Saya tidak berniat menyentuh sensitiviti atau memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak. Saya hanya membangkitkan persoalan mengenai dasar dan penguatkuasaan yang turut memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam.
“Saya percaya dasar kerajaan boleh dibincangkan dan dipersoalkan secara rasional tanpa dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama,” katanya lagi.

Mengakhiri penjelasannya, beliau mengingatkan kepentingan saling menghormati kepercayaan serta amalan agama masing-masing demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sumber: Facebook Khoo Poay Tiong

More in Social Media

View all

Latest news