Rio de Janeiro: Dunia bola sepak Brazil kecoh dengan spekulasi mendakwa bintang Santos, Neymar menjalinkan hubungan intim dengan Virginia Fonseca, bekas kekasih penyerang Real Madrid, Vinicius Junior, namun dakwaan itu segera dinafikan pihak terbabit.
Baca juga: Buruh warga Indonesia mengaku salah rogol anak tiri
Menurut wartawan Brazil, Fabia Oliveira dari Metropoles, Neymar didakwa mempunyai hubungan intim dengan Virginia yang juga seorang pempengaruh, pengacara televisyen dan bekas pasangan Vini Jr.
Spekulasi itu tercetus susulan satu majlis persendirian pada 6 November lalu, beberapa hari sebelum perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) di Sao Paulo.
Sumber mendakwa majlis eksklusif itu hanya dihadiri tetamu terpilih dan larangan ketat penggunaan telefon bimbit dikenakan bagi menjaga privasi tetamu berprofil tinggi.
Individu yang ditemu bual Oliveira mendakwa Virginia mencuri perhatian apabila menari di atas tubuh Neymar yang ketika itu sedang duduk di sofa.
Bintang Brazil itu kemudian mengambil mikrofon dan menyapa Virginia menggunakan gelaran ‘Vivibora’. Kedua-duanya juga didakwa mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak sepanjang majlis berkenaan.
Bagaimanapun, dakwaan itu belum dapat disahkan secara bebas dan segera mendapat bantahan daripada pihak terbabit, lapor A Bola.
Pihak pengurusan Virginia mengeluarkan kenyataan media menafikan laporan berkenaan sebagai “sama sekali tidak benar”.
Pempengaruh dari Brazil itu turut mengkritik kecenderungan media yang menjadikan spekulasi mengenai kehidupan peribadi seseorang seolah-olah fakta yang tidak boleh dipertikaikan, meskipun tiada bukti kukuh.
Neymar turut menggunakan Instagram untuk menafikan dakwaan berkenaan selain meluahkan rasa kecewa kerana sering menjadi sasaran gosip media tabloid berkaitan kehidupan peribadinya.
“Ada cerita tersebar mendakwa wujud hubungan antara saya dengan seseorang dan saya menafikannya!
“Sedih melihat kita hidup dalam dunia yang lebih mementingkan sensasi berkaitan nama seseorang berbanding realiti sebenar.
“Pasukan saya sudah mengeluarkan kenyataan, tetapi saya sendiri perlu tampil untuk menamatkan perkara ini! Salam kepada semua dan sekarang biarkan saya bermain poker dengan tenang,” tulisnya.
Virginia , 27, sebelum ini menjalin hubungan dengan Vini Jr. sebelum mereka berpisah pada pertengahan Oktober lalu.
Terbaharu, pempengaruh itu mengesahkan kembali menjalin hubungan dengan penyanyi Zé Felipe, bapa kepada tiga anaknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd