LATEST

Siapa bakal rangkul Filem Terbaik FFM35, dana RM1 juta esok?

Siapa bakal rangkul Filem Terbaik FFM35, dana RM1 juta esok?

wanasr@hmetro.com.my

Baca juga: NSFC lebur di tempat sendiri

Kuala Lumpur : Malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) berlangsung di Istana Budaya di sini, malam esok, menjadi saksi pertembungan paling sengit dalam sejarah penganjuran acara berprestij itu apabila lima karya hebat bersaing merebut gelaran Filem Terbaik.

Mengangkat tema Spektrum Sinema, penganjuran edisi kali ini memperlihatkan kepelbagaian wajah perfileman tempatan yang semakin matang daripada aspek genre, pendekatan penceritaan, estetika visual sehinggalah keberanian meneroka isu kemasyarakatan.

Lima naskhah yang layak ke peringkat akhir antaranya Khadam, Malam Terlarang, Mother Bhumi, Macai dan Abah Saya Uncle Mike masing-masing hadir dengan kekuatan tersendiri, sekali gus menjadikan ramalan pemenang utama sukar dijangka.

Meskipun dua karya bergenre seram iaitu Khadam dan Malam Terlarang mendominasi senarai dengan 12 pencalonan setiap satu, tiga lagi pencabar iaitu Mother Bhumi (lapan pencalonan), Abah Saya Uncle Mike (lapan pencalonan) dan Macai (enam pencalonan) memiliki reputasi tersendiri di pentas antarabangsa mahupun di mata pengkritik.

Naskhah Khadam arahan Shamyl Othman dilihat mempunyai kekuatan tersendiri bukan sekadar menjual kejutan visual makhluk halus, sebaliknya menggunakan premis pewarisan saka untuk mengupas konflik identiti wanita, tekanan rumah tangga dan ketakutan kehilangan nilai diri.

Mempertaruhkan jalan cerita seram psikologi filem menampilkan lakonan hebat Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim dilihat mempunyai peluang seimbang apabila membolosi kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Sinematografi Terbaik sekali gus menjadikannya antara calon paling lengkap dari aspek teknikal serta naratif.

Manakala filem Malam Terlarang yang berlatarkan era penghujung 1980-an yang mengadunkan elemen mistik, kepercayaan tradisional dan percaturan politik dengan cukup kemas.

Selain mencatat kutipan memberangsangkan sekitar RM12.2 juta di pawagam, filem lakonan Shasha Abedul, Datin Sofia Jane dan Zul Ariffin ini turut meraih empat pengiktirafan Pemenang Kebangsaan Malaysia di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026.

Kemenangannya naskhah sentuhan itu kelak pasti menjadi penghormatan paling bermakna buat legasi seni Allahyarham Norhanisham Muhammad atau dikenali Labu yang meninggal dunia pada Mei lalu.

Bagi Mother Bhumi dan filem kekeluargaan Abah Saya Uncle Mike pula kedua-duanya tampil dengan sinematografi terbaik dan jalan cerita menyentuh hati.

Tidak dinafikan juga saingan daripada filem Macai arahan sutradara yang pernah mencipta fenomena menerusi Jagat (Filem Terbaik Malaysia FFM28).

Naskhah terbaik bagi kategori yang menjadi tumpuan ini bakal merebut trofi serta insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta bagi tujuan pembangunan dan penerbitan karya akan datang.

Lebih menarik, penganjuran FFM35 turut memperkenalkan sistem penjurian baharu menggabungkan 70 peratus markah penilaian daripada kira-kira 100 hingga 150 bekas pemenang FFM terdahulu bersama 30 peratus markah panel juri profesional.

Malam kemuncak FFM35 yang dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson akan disiarkan secara langsung dari IB pada jam 8.30 malam di saluran TV2 RTM serta laman YouTube rasmi FINAS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news