LANGKAWI: Bermula dengan aktiviti berlari untuk berhenti merokok, siapa sangka Ariffin Abdul Manan, 60, kini memberanikan diri menyahut cabaran sukan lasak IRONMAN 70.3 Langkawi buat pertama kali, esok.
Baca juga: Kes rogol dan tanam janin, pekerja kedai makan disambung reman 6 hari
Bekas pemandu pelancong yang kini menetap di Rantau, Negeri Sembilan itu tidak meletakkan sebarang sasaran masa, sebaliknya hanya berharap dapat menamatkan perlumbaan berkenaan.
Penyertaan Ariffin menarik perhatian kerana pada usia warga emas, dia bakal mengharungi tiga disiplin mencabar iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal 90km dan berlari 21.1km, membabitkan jarak keseluruhan 113km.
Menurutnya, minat terhadap sukan lasak mula berputik kira-kira 20 tahun lalu selepas berkawan dengan beberapa individu yang aktif menyertai acara larian dan maraton.
“Sebenarnya, saya sudah lama berkawan dengan mereka yang gemar menyertai acara larian, tetapi ketika itu sibuk bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih.
“Ketika bekerja di Kuala Lumpur dahulu, saya mula berlari jarak dekat di sekitar tasik di Bangsar dengan niat asal mahu berhenti merokok.
“Ketika berlari, saya berkenalan dengan seorang individu yang aktif menyertai maraton. Daripadanya, saya mula belajar mengenai acara sukan lasak sebelum mencuba menyertai pertandingan larian,” katanya ketika ditemui ketika mendaftar masuk kejohanan itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.
Ariffin berkata, sejak itu aktiviti berjalan kaki dan berlari menjadi sebahagian daripada rutin hariannya, termasuk ketika hendak ke masjid atau ke pekan.
Katanya, kemahiran berenang pula dipelajari sejak dahulu menggunakan kolam ikan milik arwah bapanya, manakala bagi disiplin berbasikal, dia masih menggunakan basikal lama yang dibeli pada 2013.
“Basikal itu saya beli dengan harga RM3,500 daripada seorang rakan warga Australia yang mahu pulang ke negara asalnya. Sampai sekarang saya masih menggunakannya dan akan membawa basikal sama untuk perlumbaan esok,” katanya.
Ariffin berkata, dia menyertai kejohanan berkenaan bersama anaknya, namun mengakui persiapan dilakukan secara sederhana sejak setahun lalu tanpa menjalani latihan terlalu intensif.
© New Straits Times Press (M) Bhd