am@hmetro.com.my
Gambar pihak berkuasa Thailand
Baca juga: Anwar tidak kesal sokong Xi, tegas semula komitmen perkukuh hubungan Malaysia-China
Kota Bharu: Tujuh balai polis di wilayah Narathiwat, Thailand, termasuk Sungai Golok yang bersempadan dengan Rantau Panjang, menjadi sasaran serangan letupan, kerosakan infrastruktur, pembakaran tayar serta pemasangan kain rentang awal pagi ini.
Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, tujuh kawasan terjejas ialah Waeng, Buketa, Chanae, Rangae, bandar Narathiwat, Sungai Golok dan Tak Bai, dengan dua kawasan terakhir terletak bertentangan Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor di Tumpat.
Katanya, kejadian berlaku antara jam 3.30 pagi hingga jam 7.30 pagi (waktu Thailand), membabitkan letupan yang menyasarkan tiga tiang elektrik di daerah Waeng, kerosakan pada sebuah lagi tiang elektrik di Buketa, perbuatan merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa kejadian pembakaran tayar.
Bagaimanapun beliau berkata, perkara yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pihak berkuasa ialah penemuan beberapa kain rentang yang memaparkan simbol luar biasa.
Katanya, kain rentang itu ditemui tergantung di beberapa lokasi, termasuk di tepi jalan di Rangae, bandar Narathiwat, Sungai Golok dan Tak Bai.
“Di Chanae, selain kamera CCTV yang dirosakkan, polis turut menemui simbol berbentuk mata anak panah yang disembur menggunakan cat di lokasi kejadian serta satu objek mencurigakan berhampirannya.
“Di Rangae, beberapa lokasi melaporkan kejadian pembakaran tayar, manakala sebuah beg plastik hitam yang mencurigakan ditemui di salah satu lokasi.
“Di bandar Sungai Golok, satu kain rentang ditemui tergantung pada pondok perhentian di tepi jalan di hadapan Pejabat Pengangkutan Darat Sungai Golok, di daerah kecil Pasemas, berhampiran sempadan Malaysia,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis Thailand bersama anggota tentera dan pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi terjejas, manakala beberapa kawasan telah dipasang garisan keselamatan atas faktor keselamatan.
Kejadian itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk, khususnya berhubung kemunculan kain rentang yang memaparkan simbol luar biasa berkenaan.
Salah satu kain rentang itu berupa kain putih berbentuk segi empat tepat yang memaparkan tiga simbol dilukis menggunakan tangan, iaitu anak panah berwarna hijau menghala ke atas di sebelah kiri, tanda soal berwarna biru di bahagian tengah dan anak panah merah menghala ke bawah di sebelah kanan.
Tiada perkataan atau slogan yang kelihatan pada kain rentang berkenaan.
Gabungan simbol luar biasa itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai maksud sebenar yang ingin disampaikan serta sama ada ia bertujuan membawa mesej tertentu.
© New Straits Times Press (M) Bhd