LATEST
National

Selangor di landasan melepasi RM100 bilion pelaburan diluluskan menjelang akhir 2026

Selangor di landasan melepasi RM100 bilion pelaburan diluluskan menjelang akhir 2026

KUALA LUMPUR: Selangor berada pada landasan untuk melepasi RM100 bilion pelaburan diluluskan menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Baca juga: Yayasan Jeffrey Cheah salur RM82.5 juta biasiswa, geran tahun ini

Beliau berkata, negeri itu merekodkan RM87.9 bilion pelaburan diluluskan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, sekali gus mengatasi sasaran tahunan sebanyak RM80 bilion.

Pelaburan berkenaan membabitkan 1,302 projek yang diluluskan dan dijangka menjana 34,971 peluang pekerjaan.

Amirudin berkata, Selangor terus mendahului negeri lain di negara ini dari segi jumlah projek yang diluluskan.

Kenyataan beliau disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han, pada Majlis Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor 2025.

“Selangor berada pada landasan kukuh untuk sekali lagi melepasi paras bersejarah RM100 bilion menjelang akhir 2026,” katanya sambil memaklumkan negeri itu sudah mencapai hampir 90 peratus daripada sasaran asal pelaburan tahunannya menjelang pertengahan tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris, berkata sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar pelaburan diluluskan, iaitu sebanyak RM74.5 bilion.

Beliau berkata, angka terkini itu mencerminkan daya tarikan berterusan Selangor sebagai destinasi pelaburan susulan prestasinya pada 2025, apabila negeri itu memperoleh pelaburan berjumlah RM83.9 bilion menerusi 2,562 projek, sekali gus mengatasi sasaran tahunan RM65 bilion.

Pelaburan domestik menyumbang RM48.9 bilion daripada jumlah keseluruhan pada 2025, manakala pelaburan asing mencatatkan RM35 bilion.

Projek berkenaan dijangka mewujudkan 61,311 peluang pekerjaan.

Amirudin berkata, momentum pelaburan negeri itu didorong keyakinan berterusan pelabur global, khususnya dari China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

“Pelabur global memilih Selangor kerana kami menawarkan kepastian, iaitu jaringan perhubungan bertaraf dunia, ekosistem yang mantap serta akses lancar ke pasaran ASEAN dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi Selangor berkembang sebanyak 6.3 peratus, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik.

Amirudin berkata, Selangor menyasarkan untuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang melepasi nilai ekonomi RM500 bilion, dengan hasrat mengembangkan ekonominya kepada RM600 bilion dalam tempoh terdekat.

Menerusi Rancangan Selangor Kedua 2026–2030, negeri itu menyasarkan pelaburan terkumpul sebanyak RM330 bilion dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, automotif, ekonomi digital serta ekonomi kreatif.

“Fokus kami tertumpu kepada sektor berteknologi tinggi dan bernilai tinggi, termasuk memperluas Fasa 2 Malaysia IC Design Park bagi mewujudkan 800 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan lanjutan.

“Selangor Aeropark dan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih dua pertiga daripada sektor aeroangkasa negara,” kata Amirudin.

Beliau turut mengetengahkan cadangan pembangunan Lembah Beringin High-Tech Auto Valley yang bertujuan memacu mobiliti elektrik, selain Pelan Tindakan Masa Depan Digital 2030 bagi mempercepat penggunaan teknologi digital.

Amirudin berkata, projek infrastruktur termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan cadangan Koridor Rel Selangor akan memperkukuh hubungan antara pusat perindustrian, pelabuhan dan pasaran serantau.

Beliau menambah, inisiatif Speed Selangor akan menjamin kelulusan pembangunan berkanun dalam tempoh 30 hari, sekali gus memberikan kepastian lebih tinggi kepada pelabur.

Sementara itu, Hasan berkata, peranan Invest Selangor kini berkembang melangkaui usaha mempromosikan pelaburan kepada fungsi memudah cara pelaksanaan projek serta membantu pelabur mengurus keperluan kawal selia, pemilihan tapak dan peluang pelaburan semula.

“Menarik pelaburan hanyalah langkah pertama. Di Invest Selangor, misi utama kami adalah memberikan bantuan dan memastikan perjalanan perniagaan berjalan lancar,” katanya.

Hasan berkata, agensi itu turut memperkukuh hubungan antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan syarikat multinasional bagi meningkatkan akses kepada teknologi, membangunkan keupayaan serta membantu perniagaan tempatan menyertai rantaian bekalan global.

Katanya, Selangor turut meletakkan kedudukannya sebagai pintu masuk strategik ke ASEAN menerusi penglibatan antarabangsa dan inisiatif rentas sempadan seperti SIBS@ASEAN.

“Fokus kami bukan sekadar menarik pelaburan dari segi jumlah.

“Kami mahu menarik pelaburan berkualiti yang mampu menjana aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran, memperkukuh industri tempatan dan memberikan manfaat bermakna kepada rakyat Selangor,” katanya.

Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor mengiktiraf pelabur dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berdasarkan jumlah pelaburan baharu dan pengembangan tertinggi, selain pihak berkuasa tempatan (PBT) serta daerah pilihan utama pelabur.

Dalam sektor pembuatan, Actmax International Holdings Sdn Bhd dan Linergy Power Sdn Bhd masing-masing menerima anugerah pelaburan baharu tertinggi bagi syarikat tempatan dan asing.Baba Products (M) Sdn Bhd dan NXP Malaysia Sdn Bhd pula memenangi anugerah pelaburan pengembangan tertinggi.

Bagi sektor perkhidmatan, Bestari Solar Sdn Bhd dan DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd menerima pengiktirafan bagi pelaburan baharu tertinggi, manakala SJP Medical Centre Sdn Bhd dan KLN Logistic (Malaysia) Sdn Bhd memenangi anugerah pelaburan pengembangan tertinggi.

Majlis Bandaraya Diraja Klang dinobatkan sebagai PBT pilihan utama pelabur, diikuti Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Petaling pula dinamakan sebagai daerah pilihan utama pelabur, diikuti Klang dan Hulu Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news