am@hmetro.com.my
Baca juga: Kanser otak ragut penglihatan, Hana rindu ke sekolah
Kota Bharu: Pendermaan organ diharuskan dalam Islam dalam keadaan tertentu dengan syarat semua ketetapan dipatuhi, malah amalan itu dianggap sedekah jariah kerana mampu menyelamatkan nyawa orang lain.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pendermaan organ juga berpotensi memberikan ganjaran pahala besar kepada penderma sekiranya dilakukan dengan ikhlas dan niat membantu mereka yang memerlukan, khususnya pesakit yang terbabit dalam kemalangan atau berdepan keadaan kesihatan kritikal.
“Hukumnya harus dalam keadaan tertentu yang memenuhi syarat dan saya pasti pihak hospital sudah tahu mengenainya.
“Perbuatan ini adalah antara bentuk sedekah jariah kerana boleh menyelamatkan nyawa orang lain, khususnya dalam kes seperti kemalangan.
“Pendermaan organ boleh menyelamatkan nyawa dan memberikan ganjaran pahala daripada Allah SWT sekiranya dilakukan dengan ikhlas,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menegaskan, proses pendermaan perlu dilaksanakan dengan penuh penghormatan terhadap jenazah, selain pihak hospital perlu memahami serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Saya percaya pihak hospital sudah mengetahui proses berkenaan dan apa yang penting, kita perlu sentiasa menghormati jenazah.
“Pendermaan organ adalah berdasarkan keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), yang membenarkan amalan itu dalam keadaan tertentu dengan syarat semua ketetapan yang ditetapkan dipatuhi,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, ketetapan itu mencerminkan penekanan Islam terhadap usaha memelihara nyawa manusia, selain memastikan maruah dan hak individu yang meninggal dunia terus dilindungi.
Untuk rekod, Jawatankuasa Muzakarah MKI memutuskan bahawa pendermaan dan pemindahan organ serta tisu secara umum adalah harus sejak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 23 hingga 24 Jun 1970.
Kenyataan Mufti Kelantan itu susulan kisah Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, yang organ dan tisunya didermakan keluarganya selepas beliau disahkan mengalami kematian otak akibat kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya, baru-baru ini.
Keluarga Allahyarham bersetuju mendermakan hampir semua organ dan tisu yang sesuai untuk membantu pesakit yang memerlukan, kecuali kulit.
Antara organ dan tisu yang diperoleh daripada Allahyarham di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian ialah hati, buah pinggang, paru-paru, kornea mata dan tulang.
Proses pendermaan itu dilaksanakan selepas kematian otak disahkan oleh pakar anestesiologi dan pakar bedah saraf mengikut protokol perubatan yang ditetapkan, selepas persetujuan keluarga diperoleh.
© New Straits Times Press (M) Bhd