KUALA LUMPUR: Pelbagai produk kesihatan, kosmetik dan makanan berjenama dari China bernilai RM1.27 juta dirampas dalam serbuan di sebuah premis logistik di Banting, Selangor, semalam.
Baca juga: Tips Ke Langkawi Cuti Hujung Tahun: Panduan Praktikal
Serbuan kira-kira jam 12.10 tengah hari menerusi Op Taring Dosej itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk individu dipercayai pemilik syarikat.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, pihak berkuasa menahan tiga individu membabitkan seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik syarikat dan dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis terbabit.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dan rampasan pelbagai produk kesihatan, kosmetik serta makanan berjenama dari China yang disyaki membabitkan pelbagai kesalahan di bawah perundangan berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaki berkata, antara barangan dirampas ialah 1,044 kotak pelbagai produk kesihatan dan kosmetik serta 1,300 botol pelbagai produk suplemen dan kesihatan.
Katanya, turut dirampas 38 kotak produk sup tremella tulen, 65 kotak produk koenzim Q10 serta pelbagai produk makanan dan minuman berasaskan teh serta makanan ringan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggar RM1,271,802, membabitkan rampasan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM1,261,890, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebanyak RM4,745 serta Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat sebanyak RM5,167.
“Pihak berkuasa turut mengenal pasti beberapa kesalahan membabitkan Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat turut mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM4,500, manakala Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM2,000 atas kesalahan berkaitan.
Katanya, semua barangan rampasan diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.
Operasi turut membabitkan kerjasama Bahagian Farmasi Negeri Selangor, KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Klang, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan MPKL.
© New Straits Times Press (M) Bhd