TURIN: Ben Shelton mengesahkan tempat ke separuh akhir Final ATP selepas Arthur Fils tewas set pertama dalam perlawanan menentang pemain nombor satu dunia, Alexander Zverev.
Baca juga: Kerjasama ASEAN, antarabangsa buka ruang Malaysia muncul hab mineral kritikal
Terdahulu, pemain Amerika Syarikat (AS) itu menewaskan wakil Sepanyol, Rafael Jodar 7-6 (10/8), 7-5, sekali gus menyebabkan Fils perlu menewaskan pemain Jerman, Zverev dalam straight set untuk merampas kedudukan kedua Kumpulan John McEnroe.
Namun, Fils ketinggalan selepas 35 minit apabila Zverev memenangi set pertama 6-4, sekali gus menyaksikan pemain Perancis itu tersingkir selepas tewas 6-4, 7-6 (8/6).
Zverev belum kehilangan sebarang set di Turin dan bakal berdepan pemain yang menamatkan saingan di tempat kedua dalam satu lagi kumpulan empat pemain pada hujung minggu ini.
Zverev dilihat bergelut dengan kecederaan buku lali pada penghujung perlawanan itu. Dia pernah mengalami kecederaan ligamen pada bahagian sama ketika Terbuka Perancis 2022.
“Malangnya, buku lali itu mungkin akan terus menjadi masalah buat saya sehingga penghujung karier susulan kecederaan yang dialami empat tahun lalu.
“Saya akan melakukan segala yang termampu bersama ahli fisioterapi dan pasukan saya untuk memastikan saya bersedia serta bebas daripada kesakitan pada perlawanan selepas ini,” kata Zverev.
Shelton menyertai Zverev yang sudah mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan, serta Carlos Alcaraz dalam kelompok empat pemain terbaik.
Pemain AS berusia 24 tahun itu terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Jodar yang memiliki dua peluang memenangi set ketika tie-break set pertama.
Selepas memenangi set pembukaan yang sengit dan berlangsung lebih sejam, Shelton pantas mematahkan servis Jodar pada set kedua.
Ketinggalan 1-3 dan kemudian 2-4, pemain Sepanyol yang berada di ranking ke-10 dunia itu bangkit memberi tentangan.
Pemain berusia 20 tahun itu menyamakan kedudukan 4-4 sebelum mendahului 5-4. Namun, dia akhirnya gagal mengekalkan momentum apabila tewas tiga permainan berturut-turut, sekali gus mengalami kekalahan ketiga minggu ini dalam penampilan sulungnya pada kejohanan elit penutup musim itu.
“Rafa pemain yang hebat. Dia mempunyai begitu banyak kelebihan dan juga seorang pesaing yang sangat bagus.
“Saya tahu perlawanan ini bukan mudah sejak awal dan saya gembira dapat mengharungi beberapa detik sukar pada set pertama, terutama ketika ketinggalan dalam beberapa mata sebelum memasuki tie-break,” kata Shelton.
© New Straits Times Press (M) Bhd