anbia@hmetro.com.my
Baca juga: Deretan rumah berusia 100 tahun serikan Kampung Sungai Batang
KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh kerjasama pencegahan rasuah, penyiasatan dan penguatkuasaan menjadi intipati utama kunjungan hormat delegasi National Commission of Supervision (NCS) Republik Rakyat China ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, semalam.
Delegasi diketuai Timbalan Setiausaha Central Commission for Discipline Inspection (CCDI) merangkap Naib Pengerusi NCS, SUN Xinyang itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala menerusi pertukaran pandangan, perkongsian pengalaman serta penerokaan peluang kerjasama dalam usaha membanteras rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, hubungan kerjasama antara SPRM dan NCS terus berkembang sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 Oktober 2023 yang menjadi landasan penting dalam memperkukuh usaha bersama memerangi rasuah.
Menurutnya, MoU berkenaan mempunyai tempoh kuat kuasa selama lima tahun dengan pembaharuan secara automatik.
“Pertemuan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara kedua-dua institusi, khususnya menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman bagi memperkukuh keberkesanan usaha pencegahan serta pembanterasan rasuah,” katanya.
Turut hadir Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Karunanithy Y. Subbiah; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Hairuzam Mohd Amin @ Hamim dan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi , TPj Lim Bee Kean.
© New Straits Times Press (M) Bhd