LATEST
National

Kerjasama ASEAN, antarabangsa buka ruang Malaysia muncul hab mineral kritikal

Kerjasama ASEAN, antarabangsa buka ruang Malaysia muncul hab mineral kritikal

PUTRAJAYA: Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pemprosesan mineral kritikal dan pembangunan kepakaran serantau menerusi kerjasama strategik dengan negara ASEAN serta rakan antarabangsa.

Baca juga: Anthropic cipta rekod, muncul IPO terbesar dalam sejarah

Potensi itu boleh dicapai khususnya dalam perkongsian teknologi, geosains dan pembangunan tenaga kerja tempatan.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Ir Dr Syed Fuad Saiyid Hashim, berkata kerjasama ASEAN amat penting kerana kekuatan sumber, teknologi dan pasaran tidak tertumpu kepada satu negara sahaja.

“Negara anggota boleh membangunkan rantaian bekalan yang saling melengkapi, bermula daripada penerokaan dan pengeluaran hingga pemprosesan serta pembuatan.

“Ia sekali gus membuka akses Malaysia kepada bahan suapan, teknologi pemisahan dan penulenan, pembiayaan serta pasaran produk.

“Dalam sektor unsur nadir bumi (REE), kerjasama meliputi pembangunan kepakaran tempatan perlu supaya jurutera, ahli geologi, ahli kimia dan penyelidik Malaysia mampu mengendalikan serta menambah baik teknologi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, perkongsian geosains menerusi kerjasama mampu meningkatkan kefahaman mengenai deposit mineral, penilaian sumber dan risiko alam sekitar.

Katanya, latihan bersama dan pertukaran tenaga pakar pula dapat membantu membina kompetensi serantau.

“Malaysia turut berpeluang memperkukuh peranan sebagai pusat pemprosesan, perkhidmatan teknikal dan pembangunan bakat dalam ekosistem mineral ASEAN.

“Namun, kerjasama antarabangsa perlu menghasilkan pemindahan teknologi yang boleh diukur, latihan tenaga tempatan serta penyelidikan bersama,” katanya.

Syed Fuad berkata, teknologi yang dibawa masuk juga mesti dinilai kesesuaian dengan keadaan geologi dan persekitaran Malaysia.

Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata kerjasama serantau dan antarabangsa turut mampu membuka pasaran lebih luas Malaysia.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai sebahagian daripada diplomasi ekonomi yang turut berkait dengan aspek alam sekitar.

“Perkara ini sekali gus menunjukkan kemampuan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai wakil kerajaan yang sesuai dalam perkara berkenaan,” katanya.

Azmi berkata, aspek alam sekitar bukan sahaja tertumpu kepada isu pemeliharaan alam sekitar semata-mata, malah merangkumi tenaga boleh baharu yang disifatkan sebagai elemen amat penting dalam kerjasama berkenaan.

Malaysia mencatatkan pencapaian membanggakan apabila menjadi Pengerusi Kerjasama Mineral ASEAN 2026 di peringkat serantau dan antarabangsa, selain menghantar wakil peringkat menteri ke Kongres Perlombongan Sedunia (WMC) 2026 di Peru.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia mendahului pengeluaran aluminium, besi dan mangan.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai antara negara anggota yang memiliki kemudahan pemprosesan REE.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news