harisfadli@hmetro.com.my
Baca juga: Cederakan bekas isteri: Mahkamah Rayuan arah penjawat awam dipenjara tiga tahun
Kuala Lumpur: Seramai 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram dadah menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, berkata 11 individu ditahan terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam yang disyaki terbabit susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Beliau berkata, tangkapan itu hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama TUDM.
“Hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM, satu sindiket pengedaran dadah rentas sempadan dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan, berjaya dibongkar.
“Pada 17 November, JSJN Bukit Aman melaksanakan beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan, yang membawa kepada penahanan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur dan menyelaras kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
Katanya, JSJN sedang giat mengesan seorang lagi warga Malaysia yang dipercayai adalah ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terbabit.
Katanya, risikan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM.
“Sindiket dipercayai menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia,” katanya.
Hussein berkata, modus operandi itu memperlihatkan tahap keberanian dan kelicikan sindiket dalam mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara.
Katanya, JSJN amat menghargai kerjasama TUDM, khususnya Cawangan Provos Marsyal, atas tindakan profesional dan komitmen tinggi yang diberikan sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
“Lima pegawai TUDM direman tujuh hari bermula 18 hingga 24 November manakala individu awam yang ditahan direman antara dua hingga lima hari.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek individu awam positif metamfetamina, manakala seorang daripada tangkapan awam mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Menurut Hussein, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, membabitkan penyitaan dua kenderaan jenis Honda CR-V dan Toyota Vios bernilai keseluruhan RM126,062.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang daripada dua belas kali bagi mereka yang disabitkan kesalahan.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pegawai TUDM, termasuk juruterbang, terbabit dalam kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.
Beliau berkata, kes berkenaan amat membimbangkan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat.
Anwar memaklumkan antara yang terbabit termasuk pegawai berpangkat leftenan dan kapten, selain juruterbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd