LATEST

‘Tak sangka dia tidak pulang selamanya’ – Ibu

‘Tak sangka dia tidak pulang selamanya’ – Ibu

am@hmetro.com.my

Baca juga: ‘Selalu pesan jangan merayau, tak sangka tak pulang selamanya’ – Ibu

Kota Bharu: Remaja lelaki yang hilang di sungai ketika mandi di Kampung Pulau Belacan petang tadi ditemukan lemas.

Mayat Muhammad Azim Danial Abdul Hadi, 13, ditemukan jam 8.12 malam oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kedalaman 4.57 meter ketika operasi dijalankan.

Ibu mangsa, Nik Nur Atikah Abdullah, 32, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu keluar rumah kira-kira jam 5 petang tadi bersama lima lagi rakannya dengan menunggang motosikal.

“Saya berselisih dengannya di tengah jalan cuma tidak sempat bertegur dan tidak tahu pula Azim ke sungai.

“Sebelum ini, Azim tidak pernah ke sana (sungai) dan dia juga tidak tahu berenang malah difahamkan selain untuk mandi, anak saya dan rakan-rakannya ingin mencari lala.

“Saya dihubungi suami yang memberitahu anak kami lemas dan segera ke lokasi sambil berdoa Azim ditemukan dengan selamat tapi Allah lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Nik Nur Atikah berkata, menurut seorang daripada rakan anaknya, Azim dikatakan mandi di tengah sungai walaupun sudah dilarang rakan-rakan.

Katanya, Azim dilihat tenggelam timbul tidak lama selepas itu dan rakannya sempat memegang badan mangsa namun terlepas disebabkan licin kerana remaja itu tidak memakai baju.

“Boleh dikatakan setiap hari saya berpesan kepadanya jangan keluar merayau selepas pulang dari sekolah tapi tak sangka hari ini dia keluar dan tak akan pulang buat selama-lamanya,” katanya.

Nik Nur Atikah berkata, tiada perubahan dikesan pada anaknya itu cuma pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin itu tidak sempat bersalaman dengannya sebelum ke sekolah pagi tadi.

Katanya, kebiasaannya dia akan berpesan kepada anaknya itu supaya menunggang motosikal dengan berhati-hati namun pagi tadi dia juga tidak sempat memberi pesanan.

“Biasanya dia akan bersalam dengan saya sebelum pergi sekolah cuma pagi tadi mungkin disebabkan sudah lewat, dia tidak sempat dan,” katanya.

Jenazah Muhammad Azim Danial dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemumin selepas selepas proses bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news