sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Lima pegawai TUDM ditahan! Guna penerbangan tentera seludup dadah RM4.83 juta
Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak konsisten apabila melakar kemenangan kedua dalam kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026/27 selepas menumbangkan Cong An Ha Noi FC 3-1 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Hang Day, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Xisco Munoz itu berkongsi kedudukan pendahulu Kumpulan B bersama Persib Bandung dengan enam mata yang menyaksikan kedua-dua pasukan turut terikat dari segi jumlah gol, jumlah bolos dan perbezaan jaringan yang sama selepas dua perlawanan.
Kedudukan itu terjadi selepas Persib Bandung membelasah Shan United 6-0 di Stadium Gelora Bandung Lautan Api untuk kedua-dua pasukan menghimpun sembilan gol, satu bolos dan lapan perbezaan jaringan.
Pada aksi terbabit, JDT dikejutkan seawal minit keempat menerusi gol sendiri Nene yang tertampan bola ke dalam gawang selepas berusaha menghalang gerakan Brayan Perea yang sebelum itu cuba mengatasi kawalan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.
JDT mengemaskan asakan untuk memburu gol penyamaan dan menguji gawang tuan rumah dengan percubaan Dani Bolt daripada luar kotak penalti pada minit ke-13 namun diselamatkan penjaga gol Cong An Hanoi FC, Nguyen Filip.
Ketinggalan satu gol dan masih bergelut mendapatkan rentak, Munoz membuat tiga pertukaran pada minit ke-26 apabila mengeluarkan Shahad Zahedi, Nene dan Bolt untuk memasukkan Jairo da Silva, Ager Aketxe dan Oscar Arribas.
Bagaimanapun, peluang lebih baik dimiliki Cong An Hanoi FC selepas percubaan Perea terkena tiang pada minit ke-28 sekali gus menyelamatkan JDT daripada terus ketinggalan lebih jauh.
Beberapa percubaan yang dihasilkan JDT menerusi Jairo pada minit ke-33, Shane Lowry pada minit ke-36 dan Arribas pada minit ke-44 belum cukup untuk menewaskan Nguyen dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung selepas rehat, hanya lima minit diperlukan JDT untuk mengikat kedudukan selepas percubaan lencong Arribas akhirnya menewaskan Nguyen sekali gus perlawanan kembali seimbang 1-1.
JDT mendahului permainan pada minit ke-60 apabila serangan balas pantas JDT menemui Jairo yang melakukan larian deras daripada sebelah sayap kanan sebelum melorongkan bola kepada Marcos Guilherme yang bijak memperdaya Nguyen dengan penyudah kemas dari luar kotak penalti.
Andoni memastikan JDT kekal mendahului apabila menyelamatkan percubaan jarak dekat Lee Van Do menggunakan kaki pada minit ke-70 sebelum Cong An Hanoi FC sekali lagi tidak bernasib baik kerana percubaan Alan Grafite terkena tiang pada minit ke-82.
Arribas meletakkan JDT terus selesa berkelebihan dengan dua gol apabila menyumbat gol ketiga pelawat pada minit ke-85 selepas menyempurnakan hantaran Guilherme untuk kedudukan 3-1.
Tuan rumah menyangkakan mereka berjaya mengurangkan defisit menerusi jaringan Nguyen Quang Hai pada minit ke-89 namun mereka hampa selepas jaringan itu dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan ofsaid sekali gus mengembalikan kelebihan dua gol buat JDT.
© New Straits Times Press (M) Bhd