KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi penguatkuasaan berkaitan bagi menentukan sama ada mana-mana cip dibawa masuk, dari atau melalui Malaysia telah dieksport semula ke negara lain.
Baca juga: Sokongan luar biasa beri tekanan emosi buat Aina
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata ia termasuk sama ada pengeksportan semula itu dijalankan selaras dengan undang-undang.
“Malaysia akan menjalankan semakannya sendiri secara bebas, selaras dengan undang-undang Malaysia dan berdasarkan bukti yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi MITI di Dewan Rakyat hari ini.
Tze Tzin berkata MITI akan meneruskan libat urus dengan pemain industri bagi mengenal pasti tahap pendedahan, menilai implikasi terhadap operasi dan eksport syarikat tempatan serta memberikan panduan berkaitan keperluan pematuhan kawalan eksport.
“Langkah ini penting bagi memastikan industri semikonduktor tempatan terus mengekalkan akses kepada pasaran antarabangsa, daya saing dan kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan MITI berjumlah RM1,976,267,500 bagi 2027 seperti diperuntukkan dalam Belanjawan 2027 dengan suara majoriti, selepas dibahaskan 13 Ahli Parlimen.
Persidangan bersambung Isnin.
© New Straits Times Press (M) Bhd