MENEMBUSI pasaran antarabangsa memerlukan usahawan luar bandar membina daya saing menerusi sokongan bersepadu pada setiap peringkat pembangunan perniagaan.
Pendekatan itu selari dengan kerangka Ekonomi Desa Nasional (EDN) yang menghubungkan pelbagai inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensinya bagi menyediakan sokongan kepada usahawan mengikut keperluan dan tahap perkembangan perniagaan.
Baca juga: Lebih 30 sengatan tebuan, pesawah terjun parit selamatkan diri
Sokongan tersebut merangkumi tiga peringkat utama iaitu membina kemahiran dan keupayaan perniagaan, membangunkan produk yang memenuhi keperluan pasaran serta memperluas akses kepada pembeli.
Perjalanan usahawan bermula dengan potensi dan sumber tempatan yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk sebelum dikembangkan menjadi perniagaan yang mempunyai peluang pasaran lebih luas.
Namun begitu, kemahiran menghasilkan produk sahaja tidak mencukupi tanpa pengetahuan dalam pengurusan perniagaan dan perancangan yang bersesuaian.
Justeru, pendidikan serta latihan teknikal menjadi antara asas penting bagi melengkapkan usahawan dengan kemahiran yang diperlukan mengikut tahap pembangunan perniagaan masing-masing.
Bimbingan keusahawanan melalui khidmat nasihat dan mentor pula membantu mereka merancang strategi pengembangan perniagaan serta mengenal pasti keperluan untuk meningkatkan keupayaan operasi.
Pada masa sama, akses kepada modal, geran dan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian diperlukan bagi menyokong pembangunan serta peningkatan kapasiti pengeluaran.
Sokongan pada peringkat ini turut melibatkan penggunaan teknologi moden dan pendigitalan bagi membantu usahawan meningkatkan keupayaan mengurus operasi seiring perkembangan perniagaan.
Dalam pembangunan keusahawanan desa, agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA Berhad dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mempunyai peranan masing-masing mengikut mandat yang ditetapkan.
Penyelarasan antara agensi kerajaan, institusi latihan, penyedia pembiayaan dan rakan industri penting bagi memastikan sokongan berterusan dapat diberikan daripada peringkat permulaan hingga pengembangan perniagaan.
Selepas membina kemahiran dan keupayaan perniagaan, tumpuan seterusnya diberikan kepada pembangunan produk serta pembungkusan yang bersesuaian dengan keperluan pasaran.
Pensijilan turut menjadi antara aspek penting bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard ditetapkan khususnya sebagai persediaan untuk meneroka pasaran lebih luas.
Antara contoh sokongan pembangunan produk ialah Ekosistem Halal MARA yang merangkumi latihan, pensijilan, pembiayaan, pembangunan produk dan akses pasaran global.
Menerusi ekosistem berkenaan, seramai 327 usahawan MARA telah memperoleh pensijilan halal setakat Mei 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh daya saing produk mereka.
Selepas produk memenuhi keperluan pasaran, usahawan memerlukan jaringan pengedaran dan peluang berhubung dengan pembeli bagi memperluas pasaran perniagaan.
Penyertaan dalam ekspo serta program padanan perniagaan membuka peluang kepada usahawan untuk berhubung secara langsung dengan pengimport, pengedar dan rakan strategik antarabangsa.
Antara pencapaian dalam peluasan akses pasaran ialah lebih 1,000 usahawan MARA dibawa ke pentas global melalui program Gate to Global (GTG) dengan potensi jualan mencecah RM1 Billion setakat Oktober lalu.
Pencapaian turut direkodkan menerusi penyertaan 10 usahawan GTG MARA dalam Korea Import Expo 2026 yang menjana nilai perniagaan keseluruhan sebanyak RM144 juta.
Penyertaan tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama strategik MARA dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) termasuk sokongan rangkaian perniagaan yang disediakan oleh MATRADE Seoul.
Antara contoh kejayaan usahawan ialah Pisango yang melaksanakan penghantaran 1,155 karton produk makanan berasaskan pisang ke New Zealand pada Jun lalu.
Pisango turut memeterai memorandum persefahaman bernilai RM1 juta bersama Jachin F&B dalam Korea Import Expo 2026 bagi membuka peluang pengembangan pasaran di Korea Selatan.
Dalam pameran sama, Hijrah Nature Herbs memeterai memorandum persefahaman bernilai RM4,900,000 bersama BCMJ Global bagi membuka peluang kerjasama dan pengembangan pasaran.
Sementara itu, penyertaan usahawan MARA dalam FOODEX Japan 2026 menghasilkan tiga memorandum persefahaman dengan potensi jualan keseluruhan bernilai RM39,500,000.
Selain penyertaan dalam pameran perdagangan, penggunaan e-dagang dan pemasaran digital turut membuka peluang kepada usahawan untuk memperluas capaian pelanggan serta meneroka pasaran eksport.
Menerusi MADANI Digital Trade Platform (MDTP), usahawan berpeluang memanfaatkan perdagangan maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk bimbingan pemasaran global, padanan perniagaan dan pengurusan transaksi eksport.
Platform tersebut merekodkan 4,557 penjual berdaftar dengan jualan terkumpul RM28,170,000, selain jualan eksport melalui padanan perniagaan bernilai USD6,570,000.
Pencapaian program dan syarikat berkenaan memperlihatkan bagaimana pensijilan, teknologi serta akses kepada pembeli dapat membuka peluang perniagaan yang boleh diukur melalui sokongan pembangunan keusahawanan.
Pertumbuhan perniagaan yang disokong secara berterusan turut berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan permintaan terhadap produk pembekal dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan masyarakat luar bandar.
Sehubungan itu, kerjasama pelbagai pihak dalam menghubungkan kemahiran, pembiayaan, pembangunan produk, teknologi dan akses pasaran menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi luar bandar selari dengan kerangka EDN. – UTUSAN
The post Sokongan bersepadu pacu usahawan desa ke pasaran global appeared first on Utusan Malaysia.