Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas kepada mana-mana anggota pentadbiran kerajaan supaya sentiasa menjaga disiplin dan adab ketika menjalankan urusan rasmi, termasuk ketika berada di Parlimen.
Memetik laporan daripada Berita RTM, beliau menyatakan mana-mana anggota pentadbiran yang melanggar peraturan serta adab berjemaah selepas ini sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan supaya berbuat demikian.
Baca juga: PAS buat keputusan! Sah tidak bertanding PRN Sarawak 2026
Foto: PMO
Berbeza pandangan bukan hal luar biasa
Anwar menjelaskan bahawa perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Kabinet bukanlah sesuatu yang luar biasa, namun sebarang teguran atau ketidakpuasan hati perlu dibincangkan menerusi saluran dalaman yang sewajarnya.
Beliau menegaskan, urusan rasmi kerajaan tidak sepatutnya dijadikan ruang untuk melontarkan pandangan yang bercanggah dengan pendirian pentadbiran secara terbuka.
“Semasa kempen saya masih boleh terima tetapi kalau dalam urusan kerajaan ini tidak boleh diizinkan. Dan kalau selepas ini ada sesiapa yang melanggar kaedah ini, sewajarnya meletakkan jawatan ataupun dinasihatkan untuk meletakkan jawatan kerana sistem kita tidak boleh berjalan begitu. Kalau tidak setuju boleh bawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” tegasnya.
Terima permohonan maaf Ahmad Maslan
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Khamis ketika mengulas isu membabitkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang sebelum ini mencetuskan perhatian susulan pantun sindiran ketika berucap di Dewan Rakyat.
Mengulas perkara tersebut, Anwar memaklumkan bahawa Ahmad sudah mengemukakan surat rasmi bagi memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya.
Perdana Menteri memaklumkan, beliau menerima permohonan maaf berkenaan dengan baik, namun mengingatkan supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
Foto: PMO
Pada masa sama, Anwar mengakui suasana politik yang hangat, khususnya ketika berlangsungnya pemilihan atau pilihan raya negeri, boleh menyebabkan seseorang pemimpin terlanjur dalam menyampaikan pandangan.
Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa semua anggota pentadbiran mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat atau teguran secara tertutup melalui mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya faham kadang-kadang suhu politik terutama dalam masa pemilihan atau pilihan raya negeri menyebabkan kita terlajak. Namun, banyak hal yang kurang dipersetujui boleh ditegur secara tertutup dan saya berikan ruang sepenuhnya dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk rakan-rakan mengemukakan pandangan,” katanya.
Rakam penghargaan kepada TPM Zahid
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberikan perhatian terhadap kepentingan menjaga disiplin dan adab dalam pentadbiran kerajaan.
Foto: FB Zahid Hamidi
Terdahulu, kontroversi tercetus apabila Ahmad Maslan menyampaikan ucapan penggulungan peringkat dasar belanjawan Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.
Ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengenai janji penghapusan tol, Ahmad menyampaikan pantun berbentuk sindiran berkaitan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Susulan itu, beliau mengutus surat permohonan maaf kepada Perdana Menteri bertarikh 17 November 2026 yang diterima Pejabat Perdana Menteri pada 18 November.
Dalam surat berkenaan, Ahmad mengakui pemilihan kata dalam pantun tersebut tidak bersesuaian dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
Sumber: Berita RTM