LATEST

Ajai gesa artis kuasai ilmu perniagaan, bukan harap bakat semata-mata

Ajai gesa artis kuasai ilmu perniagaan, bukan harap bakat semata-mata

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer, Ajai menyifatkan penggiat industri seni perlu menguasai ilmu perniagaan untuk menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada ‘menjual’ bakat seni sahaja.

Baca juga: Enam emas menanti sepak takraw di Sukan Asia 2030

Ajai atau nama sebenar, Mohd Faizal Maas, 51, berkata perkembangan teknologi masa kini mampu membantu penggiat industri menerokai aspek komersial dalam pelbagai bidang seni untuk terus relevan.

“Keadaan industri kini semakin mencabar, dan kita sebagai penggiatnya sudah tentu harus belajar menguasai ilmu perniagaan, dan tidak lagi fikirkan cuma ingin bergantung sepenuhnya kepada bakat semata-mata.

“Dalam erti kata terkini, walaupun kita mempunyai bakat seperti mencipta lagu, menyanyi dan sebagainya yang sangat bagus, tetapi untuk bertahan daripada aspek pendapatan semestinya perlu juga belajar ilmu perniagaan.

“Apabila kita menguasai ilmu perniagaan, perjalanan karier seni, insya-Allah mampu diatur serta diuruskan lebih baik untuk dikembangkan bagi bersaing ke peringkat luar juga,” katanya.

Baru-baru ini, Ajai dilantik sebagai duta program latihan industri kreatif menerusi inisiatif Creative Industry Academy (CIA).

Terdahulu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berlangsung antara MMU Creativista Sdn Bhd dengan DSR International Academy dan Wake The Baby Records.

Sebanyak lapan program latihan diperkenal merangkumi bidang industri kreatif, produksi, media digital, teori muzik, komposisi, perniagaan muzik dan latihan vokal.

Pemain keyboard Exists itu berkata, berbekal pengalaman selama 35 tahun dalam industri sejak 1991 mendorong dia membangunkan modul perniagaan muzik yang berteras kepada penguasaan ilmu perniagaan.

“Selaku penggiat seni bebas, kita perlu memahami keseluruhan proses dalam industri seperti penghasilan karya, pengurusan dan pemasaran selain menjadikan produk kreatif ini sebagai sumber pendapatan.

“Kalau dulu, kita mungkin banyak bergantung kepada pihak lain dalam urusan proses pengedaran dan membantu mengembangkan kerjaya muzik, tetapi sekarang kita boleh melakukannya sendiri menerusi pendidikan ilmu dipelajari.

“Semoga program ini dapat memberi sesuatu yang berbeza berbanding pembelajaran muzik biasa dengan membuka peluang kepada peserta bagi menguasai ilmu menerusi modul perniagaan dan memahami erti komersial,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan DSR International Academy, Datuk Seri Abdul Rani Osman (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DSR International Academy, Dr Shalieza Razali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news