Kekayaan bukan sekadar untuk dikumpul, sebaliknya perlu dinikmati dan dikongsi bersama masyarakat agar kemakmuran yang dikecapi dapat memberikan manfaat kepada semua.
Kemajuan ekonomi perlu seiring dengan peningkatan kualiti
Memetik laporan daripada Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyatakan kemajuan ekonomi perlu bergerak seiring dengan peningkatan kualiti hidup serta tanggungjawab sosial bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Baca juga: Bella Astillah Jawab Teguran Busana Di Nona Gala Awards 2026
Menurutnya, kerajaan komited memperkukuh ekonomi negara supaya hasil kemakmuran dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian HSBC Wealth Centre di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur pada Khamis.
“Saya ingin memberi jaminan kepada anda semua bahawa apabila Kerajaan MADANI menyatakan kesungguhan untuk meningkatkan ekonomi, kami benar-benar serius kerana mahu memastikan semua orang menikmati kemakmuran.
“Sebab itulah di Kuala Lumpur, kita memberikan tumpuan besar kepada usaha melindungi kawasan hijau. Keutamaan utama saya tahun ini adalah memastikan taman dan kawasan hijau terus dilindungi serta dipelihara,” katanya.
Dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih selesa didiami, Hannah menjelaskan kerajaan turut memberikan perhatian terhadap pemeliharaan kawasan hijau, pengurangan risiko banjir kilat, penambahbaikan jaringan perhubungan serta perlindungan warisan bandar raya.
Antara inisiatif yang dirancang termasuk mewartakan taman, membangunkan 32 kawasan hijau berkonsepkan hutan mikro menjelang 2027 serta menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer yang merangkumi kesemua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur menerusi Belanjawan 2027.

Selain itu, usaha tebatan banjir turut diperkukuh menerusi pendekatan Bandar Span atau Sponge City bagi mengurangkan risiko banjir kilat di ibu negara.
Menurut Hannah, jumlah kawasan berisiko banjir di Kuala Lumpur berjaya dikurangkan daripada lebih 30 kawasan pada 2022 kepada 14 ketika ini, dengan sasaran menurunkannya kepada 10 menjelang akhir tahun.
Dalam pada masa yang sama, beliau menekankan kepentingan berkongsi kemakmuran dengan golongan kurang bernasib baik, termasuk melalui penyediaan kemudahan yang dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Sebagai contoh, perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada anak-anak keluarga berpendapatan rendah di perumahan awam membuktikan bagaimana sumber awam boleh dimanfaatkan bagi memudahkan akses pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah turut menggalakkan komuniti perniagaan supaya tidak hanya bergantung kepada pasaran konvensional, sebaliknya meneroka peluang baharu berdasarkan perubahan gaya hidup dan keperluan masyarakat.
Beliau menjadikan golongan warga emas sebagai antara segmen yang mempunyai potensi besar, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, aktiviti fizikal, interaksi sosial serta program yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Kongsi pengalaman terajui KBS
Berkongsi pengalaman ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan, Hannah berkata kesediaan mengubah pendekatan lama juga penting untuk mencapai hasil yang lebih baik.
Beliau merujuk pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang berjaya membawa pulang 231 pingat, jumlah tertinggi pernah diraih negara pada temasya itu di luar Kuala Lumpur.
Pencapaian tersebut, menurutnya, diperoleh selepas pendekatan sasaran diubah daripada menetapkan jumlah pingat emas, perak dan gangsa secara berasingan kepada sasaran keseluruhan pingat.
Justeru, beliau berharap masyarakat dan sektor perniagaan terus memainkan peranan dalam membina negara yang bukan sahaja kukuh dari sudut ekonomi, malah mampu menawarkan peluang serta kehidupan lebih berkualiti kepada semua.
“Untuk mencapai semua itu, kita memerlukan ekonomi yang kukuh, bandar berdaya huni dan masyarakat yang memberikan peluang kepada semua untuk maju,” katanya.
Untuk rekod, HSBC Wealth Centre di Jalan P Ramlee merupakan pusat pengurusan kekayaan ketiga HSBC di Malaysia dan kedua di Kuala Lumpur, selepas pusat utamanya di Tun Razak Exchange (TRX) serta sebuah lagi di Johor Bahru.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Datuk Omar Siddiq dan Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Bank Malaysia, Linda Yip.
Sumber: Bernama