khairil.ashraf@hmetro.com.my
Baca juga: Kekayaan perlu dinikmati dan dikongsi – Hannah
Kuala Lumpur: Jumlah perkahwinan dan perceraian di Malaysia masing-masing mencatatkan penurunan kepada 0.8 peratus serta 0.5 peratus sejak dua tahun lalu bermula 2024 hingga 2025.
Berdasarkan Statistik Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun 2026, perkahwinan pada tahun 2024 mencatatkan jumlah 192,545 dan mengalami penurunan 191,089 pada 2025.
Dari segi pecahan, orang Islam mencatatkan peningkatan perkahwinan sebanyak 6.0 peratus iaitu 137,595 pada tahun 2024 dan 145,848 tahun lalu.
Manakala jumlah kes perkahwinan bagi orang bukan Islam mencatatkan penurunan sebanyak 17.7 peratus bagi dua tahun iaitu daripada 54,950 (2024) kepada 45,241 (2025).
DOSM berkata, untuk statistik perkahwinan tahun 2025, perkahwinan tertinggi dicatatkan bagi kedua-dua jantina adalah pada kumpulan umur 25 hingga 29 tahun.
Bagi umur penengah perkahwinan pengantin lelaki adalah di usia 29 tahun berbanding pengantin perempuan di usia 27 tahun untuk tahun lalu.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh DOSM juga, kadar perceraian mencatatkan penurunan daripada 60,697 kes pada tahun 2024 kepada 60,416 untuk 2025.
Dari segi pecahan, orang Islam mencatatkan jumlah peningkatan perceraian 0.8 peratus untuk dua tahun lalu iaitu sebanyak 47,577 (2024) kepada 47,944 untuk tahun 2025.
Bagi orang Islam, jumlah perceraian menurun sebanyak 4.9 peratus dengan jumlah 13,120 pada tahun 2024 kepada 12,472 (2025).
Mengikut statistik perceraian tahun 2025, umur penengah perceraian dalam kalangan lelaki adalah semasa di usia 38 tahun manakala perempuan pula pada usia 36 tahun.
Perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 30 hingga 34 tahun bagi kedua-dua jantina.
DOSM turut memaklumkan kes rujuk juga mengalami penurunan sebanyak 9.4 peratus bagi dua tahun lalu iaitu sebanyak 5,563 (2024) kepada 5,042 kes untuk 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd