LATEST

‘Jabatan Perdana Menteri, AGC digesa sahkan status minit Lembaga Pengampunan’ – MPBN

‘Jabatan Perdana Menteri, AGC digesa sahkan status minit Lembaga Pengampunan’ – MPBN

mukhriz.husin@bh.com.my

Baca juga: 36 pegawai, petugas Imigresen terlibat sindiket pas palsu

Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa memberi penjelasan berhubung perkongsian dokumen tular didakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (MPBN) berkata, kedua-dua agensi berkenaan perlu mengesahkan ketulenan dokumen itu serta status pengelasannya mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), menerusi kenyataan rasmi dalam tempoh 24 jam.

Sekretariat itu turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan menyeluruh berhubung penyebaran dokumen berkenaan.

“Secara prinsipnya, segala prosiding dan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah dokumen rasmi kerajaan yang bertaraf sulit dan dilindungi mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

“Kenyataan rasmi kerajaan sebelum ini jelas menunjukkan bahawa proses penyahklasifikasian dokumen tersebut masih dalam peringkat penelitian mengikut lunas undang-undang.

“Persoalannya, atas kuasa dan peruntukan Seksyen 2C OSA manakah dokumen ini didakwa sudah dinyahklasifikasikan?” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dinyahklasifikasikan.

Beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat itu dikongsi oleh Tony Pua menerusi akaun Facebooknya yang antara lain merekodkan pendirian Peguam Negara berhubung perkara tersebut.

Menurut MPBN, Ketua Setiausaha Negara (KSN) juga digesa menjalankan audit keselamatan dan siasatan dalaman segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kebocoran maklumat sulit kerajaan itu.

Katanya, tindakan memuat naik dan menyebarkan beberapa halaman dokumen berkenaan di media sosial itu bukan sekadar mencetuskan polemik politik, malah menimbulkan persoalan serius mengenai status pengelasan dokumen rasmi kerajaan serta pematuhan terhadap undang-undang.

“Sekiranya tiada sebarang pewartaan atau perintah rasmi daripada pihak berkuasa yang layak dibuat sebelum dokumen berkenaan dimuat naik, maka pemilikan dan penyebaran dokumen berkenaan adalah satu kesalahan jenayah yang nyata mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana menyampaikan maklumat rasmi dengan salah.

“Oleh itu, undang-undang negara tidak boleh tunduk kepada tindakan unilateral mana-mana ahli politik,” katanya.

MPBN berkata, pendedahan butiran perbincangan dalaman Lembaga Pengampunan secara terpilih boleh menimbulkan persepsi negatif dan mengheret institusi diraja ke dalam polemik politik.

“Perbuatan ini wajar diteliti mengikut peruntukan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sekretariat itu juga mempersoalkan bagaimana dokumen rasmi membabitkan prosiding Lembaga Pengampunan boleh diperoleh individu di luar kerajaan, termasuk bekas Ahli Parlimen, sebelum disebarkan kepada umum.

“Perkara ini menunjukkan wujudnya kelompongan serius dalam kawalan keselamatan dokumen kerajaan yang mesti dibendung serta-merta.

“Bagaimanakah dokumen rasmi seperti minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan boleh dimuat naik terlebih dahulu oleh individu luar kerajaan sedangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) sendiri mengesahkan bahawa perkara ini tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri?” katanya.

MPBN turut menggesa orang ramai membuat laporan polis berhubung perkara itu sebagai komitmen mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang. Prinsip ini mesti ditegakkan secara adil terhadap semua pihak demi memelihara integriti institusi pentadbiran negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news