LATEST

KKM tunggu laporan penuh kes kematian pelajar SBP

KKM tunggu laporan penuh kes kematian pelajar SBP

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu laporan penuh berhubung kes kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak, semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan awal sebaik menerima maklumat lengkap berhubung kes berkenaan.

Baca juga: Pas Rapid Kembara RM110, Naik Tren Dan Bas Tanpa Had

“Saya belum mendapat maklumat penuh berhubung perkara itu. Kami akan memberikan kenyataan awal secepat mungkin,” katanya selepas Program Perikatan Penyelidikan Universiti Asia (AURA) di Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini, hari ini.

Mengulas sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan isu kesihatan mental, beliau berkata, pihaknya belum dapat mengulas lanjut sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan.

“Saya tidak boleh mengulas perkara itu sehingga menerima laporan lengkap berhubung kes berkenaan,” katanya.

Terdahulu, kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak berhampiran lokasi seorang pelajar Tingkatan Tiga ditemukan maut di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak semalam, disahkan berfungsi dengan baik.

Rakaman CCTV berkenaan juga telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, pentadbir dan guru sekolah berkenaan diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu melancarkan proses siasatan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan.

Beliau turut meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa sementara siasatan dijalankan.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Tiga ditemukan maut di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi tadi.

Fadhlina berkata, perbincangan turut diadakan bersama pihak berkaitan termasuk JPN Perak, manakala Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh telah turun ke lokasi bagi menyelaras tindakan segera.-UTUSAN

The post KKM tunggu laporan penuh kes kematian pelajar SBP appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news