LATEST

Pindah milik hartanah Bumiputera cecah RM48.6 bilion pada 2025

Pindah milik hartanah Bumiputera cecah RM48.6 bilion pada 2025

hafizithnin@mediaprima.com.my

Baca juga: AS bekal arang batu AS$100 juta, bangunkan awan berdaulat untuk Malaysia – Trump

Kuala Lumpur: Sebanyak 205,204 pindah milik hartanah Bumiputera bernilai RM48.6 bilion direkodkan pada 2025, merangkumi lima kategori iaitu kediaman, komersial, industri, pertanian dan pembangunan.

Berdasarkan infografik Statistik Bumiputera 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, kategori kediaman mencatatkan jumlah pindah milik tertinggi sebanyak 125,247 dengan nilai RM37.6 bilion.

Ia diikuti kategori pertanian yang merekodkan 55,626 pindah milik bernilai RM5.2 bilion, manakala kategori pembangunan mencatatkan 18,785 pindah milik dengan nilai RM2.8 bilion.

Bagi kategori komersial pula, sebanyak 5,348 pindah milik direkodkan dengan nilai RM2.8 bilion, sementara kategori industri mencatatkan 198 pindah milik bernilai RM200 juta.

Secara keseluruhan, hartanah kediaman mendominasi aktiviti pindah milik Bumiputera, merangkumi kira-kira 61 peratus daripada jumlah transaksi dalam lima kategori berkenaan.

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh Bumiputera lelaki mencatatkan 81.1 peratus pada 2025, berbanding 55.3 peratus bagi perempuan.

Menurut statistik sama, jumlah tenaga buruh Bumiputera lelaki direkodkan seramai 6.1 juta orang, manakala perempuan pula 4.1 juta orang.

Kadar pengangguran Bumiputera lelaki mencatatkan 3.4 peratus, sedikit lebih tinggi berbanding perempuan pada 3.2 peratus.

Dalam kalangan siswazah Bumiputera, seramai 1.6 juta lelaki dan 2.1 juta perempuan direkodkan pada 2024.

Kadar penyertaan tenaga buruh siswazah Bumiputera lelaki pula mencapai 89.5 peratus, berbanding 83.3 peratus bagi perempuan.

Bagaimanapun, kadar pengangguran siswazah Bumiputera perempuan mencatatkan 3.6 peratus, berbanding 3.2 peratus bagi lelaki.

Manakala dari segi jumlah penduduk Bumiputera pada 2026 dianggarkan seramai 21.94 juta orang daripada keseluruhan 31.01 juta warganegara Malaysia.

Daripada jumlah itu, 11.09 juta adalah lelaki, manakala 10.85 juta perempuan.

Jangka hayat ketika lahir bagi lelaki Bumiputera direkodkan pada 72.1 tahun, berbanding 77.1 tahun bagi perempuan.

Kadar kesuburan Bumiputera pula mencatatkan 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur antara 15 hingga 49 tahun pada 2025.

Dari aspek kesihatan, penyakit jantung iskemik menjadi punca utama kematian Bumiputera yang disahkan secara perubatan pada 2025, membabitkan 11,580 kematian atau 13.0 peratus.

Ia diikuti pneumonia sebanyak 11,019 kematian (12.3 peratus) dan diabetes mellitus sebanyak 4,973 kematian (5.6 peratus).

Kegagalan buah pinggang pula mencatatkan 3,479 kematian (3.9 peratus), diikuti kemalangan pengangkutan sebanyak 3,452 kematian (3.9 peratus).

Strok yang tidak dikenal pasti sebagai iskemik atau hemoragik turut disenaraikan antara punca utama kematian dengan 2,555 kes atau 2.9 peratus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news