firdaushashim@hmetro.com.my
Baca juga: AS tidak perlu bantuan China, Rusia untuk tamatkan perang dengan Iran – Trump
Kuala Lumpur: Meledak dua gol pertama bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa menjadi detik paling bermakna buat tonggak warisan negara, Richard Chin yang menyifatkan pencapaian itu sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya.
Malah, ia menjadi detik cukup istimewa untuknya bagi membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 24 tahun itu mengakui peluang diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama dan kemudian meledak dua gol ketika membantu skuad negara menewaskan Yaman dalam aksi persahabatan Tier 1 di China, Selasa lalu, adalah satu penghormatan besar buat dirinya.
Menerusi perkongsian di media sosial, Richard Chin meluahkan rasa syukur atas pencapaian berkenaan sambil bertekad untuk terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasinya bersama skuad kebangsaan.
“Satu penghormatan dapat tampil dalam kesebelasan utama buat kali pertama dan menjaringkan gol untuk negara saya. Kini tiba masanya untuk terus berusaha, Alhamdulillah,” katanya.
Lebih manis, pemain yang kini menyarung jersi kelab Scotland, Ross County itu tidak memerlukan masa lama untuk mencipta impak apabila membuka jaringan seawal minit ketujuh sebelum menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ke-57 untuk melengkapkan dua gol pertamanya di pentas antarabangsa.
Richard Chin yang dilahirkan di England pada 15 Oktober 2002 mula membina karier bola sepak menerusi sistem pembangunan kelab Charlton Athletic sebelum mengembangkan pengalaman bersama beberapa kelab termasuk Dartford, Bath City, Farnborough dan Raith Rovers.
Dia kemudian menyertai Ross County pada 2026 dan terus memperlihatkan perkembangan positif menerusi persembahan bersama kelab berkenaan.
Di peringkat antarabangsa, Richard Chin menerima panggilan pertama menyertai skuad senior Harimau Malaya pada 2025 sebelum membuat penampilan sulung ketika menentang Palestin pada September tahun sama.
Aksi menentang Yaman itu menyaksikan dia merekodkan penampilan ketiga bersama skuad kebangsaan dan terus mencuri perhatian menerusi sumbangan dua gol.
Persembahan pemain yang mampu beraksi di bahagian sayap kanan dan kiri itu turut mendapat pujian pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang menyifatkan Richard Chin sebagai antara aset penting buat masa depan Harimau Malaya.
Cheng Hoe berkata, keupayaan pemain itu beraksi di kedua-dua posisi sayap memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan dalam merencana taktikal pasukan.
Menurut Cheng Hoe, Richard masih muda dan mempunyai ruang yang luas untuk terus berkembang khususnya dari segi kemampuan individu, prestasi serta pemahaman taktikal bagi membantu skuad negara menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd