IPOH: Seorang lelaki warga tempatan maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Ipoh, pada awal pagi tadi.
Baca juga: Dana Kecemasan: Berapa Yang Cukup Untuk Gaji Anda?
Kejadian jam 2.30 pagi, ketika sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan rondaan cegah jenayah samun di sekitar kawasan berkenaan.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata polis menahan sebuah kenderaan dipandu suspek, sebelum individu terbabit keluar untuk melarikan diri dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.
“Polis menahan kereta suspek ketika rondaan cegah jenayah samun di sekitar kawasan Ipoh.
“Pasukan polis terpaksa membalas tembakan bagi menyelamatkan diri sehingga tiada lagi ancaman keselamatan di lokasi kejadian.
“Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan jam 3.40 pagi. Sepucuk pistol turut ditemukan berhampiran suspek.” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd