LATEST

Anggota polis maut motosikal bergesel dengan kereta

Anggota polis maut motosikal bergesel dengan kereta

am@hmetro.com.my

Baca juga: Tiafoe bantu Alcaraz ke separuh akhir

Kota Bharu: Anggota polis meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan berhampiran Jambatan Pulau Melaka, di sini, petang semalam.

Keadaan jalan yang basah dan licin ketika kejadian mengakibatkan mangsa, Koperal Muhammad Alimi Kamarudin, 35, yang bertugas di Cawangan Pensejataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berkenaan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa datang dari arah Panji menghala ke Kota Jembal dan dipercayai hilang kawalan disebabkan keadaan jalan yang basah sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel bahagian sisi hadapan kanan kereta Proton X70.

“Mangsa terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kereta Proton X70 dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dalam perjalanan dari arah Kota Jembal menghala ke Panji. Pemandu dan penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news