LATEST

Sir Teh istimewa, bantu tiga bekas pelajar ke menara gading

Sir Teh istimewa, bantu tiga bekas pelajar ke menara gading

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mereka tiada pertalian darah, berbeza bangsa dan agama, namun kasih sayang Teh Boon Siang, 35, terhadap tiga bekas pelajarnya tidak ubah seperti seorang bapa yang sanggup berkorban apa saja demi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

Baca juga: Budaya ilmu asas pembentukan integriti

Apakan tidak, Teh sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi memastikan tiga anak didiknya, Yusuf Jafri, Muhammad Shamierul Ikhwan Yazid atau mesra disapa Dekwan dan Muqriz Azim Zazali (Bob) terus cekal menuntut ilmu hingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Hari ini, tiada yang lebih bermakna buat Teh apabila pengorbanannya membuahkan hasil selepas melihat Dekwan dan Yusuf berjaya menamatkan pengajian universiti masing-masing pada Jun dan Ogos lalu manakala Bob dijangka mengikut jejak dua sahabatnya, tahun depan.

Menurut Teh, kejayaan anak didiknya itu cukup bermakna kerana ketiga-tiganya pernah berdepan cabaran tersendiri semasa menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan, tempat dia bertugas sebagai guru Sejarah dan ketua warden asrama sejak 2016.

Mengimbas kisah Yusuf, Teh berkata, bekas pelajarnya yang berasal dari Bentong, Pahang itu kerap mengambil cuti sakit kerana masalah ekzema, namun dia sanggup merawat dan menjaganya dengan rapi di asrama seperti anak sendiri.

Katanya, Yusuf juga pernah beberapa kali mahu berhenti sekolah kerana kesempitan hidup dan berhasrat bekerja bagi membantu ibu serta nenek, namun dia sedaya upaya memujuknya setiap hari dan meringankan beban dialaminya.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Yusuf di Bentong tiada komputer riba untuk menyiapkan tugasan tingkatan enam.

“Saya sanggup dapatkan surat kebenaran polis untuk merentas negeri sebelum membeli komputer riba di Seremban dan menghantarnya ke Bentong,” katanya, semalam.

Sementara itu, Teh berkata, Dekwan yang berasal dari Shah Alam, Selangor pula pernah hilang semangat untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam selepas kecewa dengan kemerosotan keputusan peperiksaannya.

“Dia tidak mahu habiskan tingkatan enam, apatah lagi sudah ada pendapatan sendiri dengan bekerja separuh masa tetapi saya berjaya memujuknya.

“Selama lima tahun juga, saya menumpangkan Dekwan dari stesen minyak Seri Kembangan setiap minggu bagi memudahkannya berulang ke asrama,” katanya.

Teh juga pernah membantu Bob menulis surat rayuan selepas gagal mendapat tawaran melalui UPUOnline kerana tidak memenuhi syarat kemasukan program sebelum akhirnya berjaya mendapat tempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Selepas mendaftar di UMS, Bob mahu mengikut ibu bapanya balik ke Semenanjung kerana ‘kejutan budaya’ apabila perlu tinggal berjauhan dengan keluarga.

“Malam itu, ibunya menghantar mesej melalui WhatsApp secara senyap-senyap meminta saya membuat panggilan video dengan Bob dan selepas saya memujuknya, barulah dia mahu bertahan dan meneruskan pengajian sampai sekarang,” katanya.

Teh yang kini bertugas di SMK Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah berkata, pengalaman hidup susah dan kejayaan meneruskan pelajaran atas sokongan bekas gurunya mendorongnya membantu anak didiknya pula supaya mempunyai masa depan lebih baik.

Sementara itu, Yusuf, 23, menganggap Teh bukan sahaja sabagai pendidik, malah seperti seorang rakan, abang dan bapa kerana sentiasa mengambil berat serta menjadi tempatnya mengadu masalah.

“Bagi saya, Sir Teh sangat istimewa kerana terlalu banyak membantu saya sejak di bangku sekolah,” katanya.

Yusuf yang baru menerima Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan) pada Istiadat Konvokesyen UMK ke-16, 4 November lalu, berkata, tanpa dorongan dan kesungguhan Teh memujuknya meneruskan pelajaran, mungkin dia tidak sampai ke tahap ini kerana pernah beberapa kali berputus asa akibat masalah kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news