LATEST

Pemulihan aset 1MDB: SPRM tidak terus kerjasama dengan Bachar Kiwan

Pemulihan aset 1MDB: SPRM tidak terus kerjasama dengan Bachar Kiwan

austin@nst.com.my

Baca juga: 2 kanak-kanak bermain di luar tingkap unit residensi, terdedah risiko jatuh

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meneruskan kerjasama dengan ahli perniagaan, Bachar Kiwan bagi siasatan pemulihan aset yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

SPRM berkata, ini berikutan dokumen rasmi dan rekod sah sudah diperolehnya melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan pihak berkuasa Kuwait

Katanya, dengan itu maklumat yang ditawarkan oleh Kiwan tidak lagi diperlukan dalam siasatan pihaknya.

“Bagaimanapun SPRM akan terus menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh terhadap beberapa dakwaan yang dibuat oleh Kiwan, seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report sejak 16 Ogos lalu.

“Siasatan dalaman itu dimulakan susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mahu semua dakwaan berkenaan diteliti secara menyeluruh bagi menentukan tindakan sewajarnya.

“SPRM ingin menjelaskan pertemuan antara pegawainya dengan Bachar Kiwan adalah sebahagian daripada prosedur siasatan biasa bagi meneliti dan mengesahkan maklumat yang diberikan berkaitan usaha mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan kes 1MDB.

“Setiap perbincangan turut dihadiri oleh wakil Jabatan Peguam Negara (AGC), dan pertemuan tersebut tidak bermaksud SPRM mengiktiraf sebarang tuntutan atau status yang didakwa oleh beliau,” menurut SPRM dalam kenyataan, hari ini.

SPRM turut menjelaskan Kiwan tidak diklasifikasikan sebagai pemberi maklumat yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan ia sudah dimaklumkan kepadanya dalam pertemuan 2 Disember 2025.

Menyentuh dakwaan berkaitan ganjaran dan pembahagian hasil daripada aset yang berjaya diperoleh semula, SPRM menegaskan terma yang disebut dalam laporan berkenaan hanyalah cadangan draf yang dikemukakan oleh ahli perniagaan itu.

“Cadangan terma itu tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh SPRM,” katanya.

Berhubung dakwaan mengenai lantikan peguam, SPRM menafikan sebarang pembabitan dalam perkara itu dan menegaskan urusan sedemikian berada di luar bidang kuasanya.

SPRM menjelaskan pelantikan peguam adalah hak sepenuhnya individu berkenaan, manakala keputusan untuk menarik diri oleh firma guaman yang terbabit dibuat oleh firma itu sendiri.

“Maklumat yang ditawarkan oleh Kiwan tidak lagi menjadi keperluan utama dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, SPRM mengesahkan pihaknya turut merakamkan percakapan ahli perniagaan, Albert Tei yang hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi membuat aduan berhubung perkara berkenaan.

Suruhanjaya itu berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan itu, termasuk aduan yang dikemukakan kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPRM turut berjanji memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap sebarang siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news