LATEST
National

2 kanak-kanak bermain di luar tingkap unit residensi, terdedah risiko jatuh

2 kanak-kanak bermain di luar tingkap unit residensi, terdedah risiko jatuh

KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak warga asing dikesan bermain di bahagian luar tingkap sebuah unit kediaman residensi di Subang Jaya, dekat sini, baru-baru ini.

Baca juga: Malaysia, AS mahu bekerjasama bangunkan Awan AI Berdaulat Malaysia

Insiden itu sekali gus membongkar kemungkinan berlaku kecuaian ibu bapa yang disyaki meninggalkan kanak-kanak terbabit bersendirian di rumah tanpa pengawasan.

Kejadian membabitkan kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun itu bukan saja mengundang kebimbangan penduduk, malah mendedahkan kedua-duanya kepada risiko terjatuh yang boleh mengancam nyawa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar, berkata hasil siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai keluar melalui tingkap sebelum bermain di bahagian luar bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua kanak-kanak itu dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.

“Polis menerima laporan daripada wakil pengurusan residensi itu pada jam 3.11 petang Isnin lalu, susulan aduan penduduk mengenai kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 4.26 petang 13 November lalu, sebelum rakaman video mengenainya tular dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mohd Fairus berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang antara lain memperuntukkan kesalahan berkaitan penganiayaan, pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada keadaan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sementara siasatan dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Subang Jaya atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya melalui talian 03-7862 7222.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Nur Nadhirah Zahari (012-9979 552), bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news