austin@nst.com.my
Baca juga: Unit Integriti setiap agensi perlu proaktif cegah rasuah
Shah Alam: Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Puncak Alam serta Meru, Klang hari ini, menjadikannya kejadian kedua berturut-turut dengan beberapa jalan turut ditenggelami air.
Video dan gambar yang tular di media sosial turut menunjukkan laluan berhampiran restoran makanan segera dan persimpangan lampu isyarat di Puncak Alam digenangi air.
Seorang pengguna Threads, @frhanirhmn berkongsi rakaman kejadian banjir itu pada 8.16 malam tadi yang menunjukkan banjir berlumpur menenggelamkan beberapa bahagian jalan raya.
Jalan yang terjejas ialah Jalan Bukit Cherakah menghala ke Meru.
Satu lagi video menunjukkan kenderaan meredah laluan yang dinaiki air di kawasan berkenaan.
Pengguna sama kemudian memuat naik perkembangan terkini yang menunjukkan hujan di kawasan itu.
Banjir terbaharu ini berlaku sehari selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat di beberapa lokasi di Puncak Alam semalam.
Antara kawasan yang terjejas semalam ialah Jalan Bukit Cherakah menghala ke Meru, apabila paras air yang meningkat menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, banjir turut dilaporkan berlaku di Meru, Klang, malam ini.
Pengguna Threads @izzi5935 berkongsi gambar dan rakaman udara yang menunjukkan kejadian banjir besar di Taman Daya Maju, Meru.
Gambar berkenaan menunjukkan jalan raya tenggelam, manakala air banjir turut melimpah di sekitar rumah dan bangunan lain di kawasan perumahan berkenaan.
Pengguna itu juga mendakwa beberapa penduduk yang terjejas hanya menerima bantuan banjir daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada awal malam tadi.
Rakaman udara turut menunjukkan beberapa laluan perumahan ditenggelami air dengan lampu jalan menerangi kawasan berkenaan.
Satu lagi video yang dikongsi pengguna Threads @along\_sam menunjukkan paras air meningkat di Batu Arang, dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda meredah banjir ketika hujan lebat masih berterusan.
Pengguna jalan raya yang melalui Puncak Alam dan Meru dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mengelakkan laluan yang dinaiki air serta menggunakan jalan alternatif jika perlu.
Tahap keseluruhan banjir dan jumlah isi rumah yang terjejas ketika ini masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir pada 8.45 malam tadi dengan meramalkan ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri sehingga tengah malam.
Amaran itu meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.
Di Kedah, kawasan yang terjejas termasuk Langkawi, Sik, Padang Terap dan Baling, manakala di Perak, amaran meliputi Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
Di Pahang, ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di Rompin, Bera, Temerloh, Bentong dan Raub.
Amaran itu turut meliputi Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Kota Tinggi dan Mersing di Johor.
Di Sarawak, kawasan yang terjejas ialah Belaga, Kapit dan Bukit Mabong di Bahagian Kapit, selain Tatau dan Sebauh di Bahagian Bintulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd